Umno hadapi PRK Rantau dengan semangat baharu, kata akar umbi


SM Amin

Akar umbi percaya masalah dihadapi Umno dalam siri PRK sebelum ini bukan lagi halangan kerana Rantau dipimpin oleh timbalan presiden parti, Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2018.

UMNO akan dapat menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Rantau dengan semangat  baharu kerana parti itu sedang berubah dan bersedia untuk bangkit semula, kata pemimpin akar umbi.

Mereka percaya masalah dihadapi oleh Umno dalam siri PRK sebelum ini seperti faktor kawasan dan calon bukan lagi halangan kerana Rantau dipimpin oleh timbalan presiden parti, Mohamad Hasan.

Hala tuju parti kini semakin jelas dan ini akan meningkatkan keyakinan dan semangat anggota untuk berkempen, kata pemimpin ini.

Pengundi pula dapat melihat masalah dalam pentadbiran baharu ini dengan semakin jelas dan akan dapat menyatakan kekecewaan itu di kertas undi, kata seorang pemimpin Pemuda Umno cawangan Kuala Selangor.

Ini adalah perkembangan baharu yang tidak ditunjukkan oleh pengundi dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini, kata Hanapi Mohd Ali, ketua penerangan Pemuda Umno di cawangan Seri Cahaya.

“Dalam beberapa PRK sebelum ini kita tidak nampak, mungkin (disebabkan) faktor kawasan dan calon. Dalam PRK Rantau nanti kita perlu berusaha dan memastkan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati mereka di atas kertas undi.

“Umno perlu memulakan momentumnya di Rantau kerana calon kita orang nombor dua dalam parti,” katanya ketika ditemui The Malaysia Insight.

PRK Rantau bakal diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi di Seremban pada Jumaat yang membatalkan kemenangan Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Sejurus selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu akan menjadi calon parti itu dalam PRK Rantau.

PRK Rantau pastinya berbeza dengan siri PRK yang disertai Umno sebelum ini, ketika itu parti masih bergelut dengan soal pemilihan kepimpinan dan hala tuju baru.

Menurut Hanapi, perkara ini turut dirasai oleh akar umbi yang seperti tidak mempunyai arah tuju ketika berkempen di PRK Sungai Kandis dan ketika membantu kempen PAS di PRK Seri Setia.

Pertuduhan yang dikenakan ke atas barisan pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak tidak melemahkan semangat ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2018.

“Bila kita kalah, hilang hala tuju, pemimpin pula dikenakan dengan pelbagai tuduhan dan sebagainya, kita merasakan satu kekecewaan dan tiada semangat,” katanya.

Beliau melihat, usaha presiden dan ahli Majlis Tertinggi Umno menjelajah ke negeri-negeri untuk berjumpa dengan pemimpin dan ahli akar umbi berjaya memberi satu suntikan semangat baharu.

“Bila pemimpin atas turun berjumpa dengan akar umbi, kita melihat kepimpinan parti masih bersemangat untuk bangkit. Mereka mengakui kesilapan yang pernah dilakukan. 

“Kita nampak keyakinan untuk kembali bangkit semula itu ada. Cuma mungkin ambil masa. 

“Jika pemimpin sudah mempunyai semangat untuk bangkit kembali, kenapa tidak kita yang di akar umbi ini. Kita perlu beri sokongan,” katanya yang tertunggu-tunggu kunjungan Zahid ke kawasannya di Kuala Selangor esok.

Kalangan pemimpin Umno ini juga percaya, pertuduhan yang dikenakan ke atas barisan pemimpin tertinggi parti termasuk Najib Razak tidak melemahkan semangat ahli.

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata mereka tahu dan faham semuanya adalah dirancang oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dakwanya, tindakan seperti itu bukan satu perkara baharu kerana Dr Mahathir juga pernah mengheret pemimpin parti lawan ke mahkamah sewaktu menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Ahli tahu dalam usaha untuk melemahkan Umno dan menghilangkan kepercayaan ahli Umno, maka tindakan diambil ke atas pemimpin-pemimpin Umno.

“Dr Mahathir hendak pikat dan curi pemimpin dan ahli Parlimen Umno supaya melompat kepada dia untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu.

“Apa pun yang berlaku kepada kepimpinan Umno ketika ini dan kita tahu akan ada lagi, ianya tidak akan melemahkan semangat juang ahli di akar umbi,” katanya.

Turut sependapat dengan beliau, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman yang berkata kerajaan silap strategi kerana mengenakan terlalu banyak pertuduhan kepada pemimpin Umno.

“Kerajaan silap langkah apabila mengenakan terlalu banyak pertuduhan terhadap pemimpin-pemimpin Umno. Ahli Umno sudah tahu motif tindakan kerajaan itu,” katanya. – 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen