SELEPAS bertahun-tahun mendesak pembaharuan melalui protes jalanan, Bersih 2.0 kini mempunyai tempat di Jabatan Perdana Menteri (PMO), Putrajaya untuk membantu jawatankuasa khas kerajaan menilai semula dan memperbaiki sistem pilihan raya negara.
Pengerusi yang baharu dipilih Thomas Fann berkata Bersih dijemput duduk dalam Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang berada di bawah PMO dan diketuai oleh bekas ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman.
Bersih ditugaskan dengan meneliti proses pilihan raya, pendaftaran pengundi dan persempadanan kawasan, kata Fann dalam temu bual dengan The Malaysian Insight.
“Kami akan memainkan peranan untuk menyumbang cadangan terbaik kepada perdana menteri,” katanya.
Ia sesuatu yang jauh berbeza semasa di bawah zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila satu-satunya cara untuk meningkatkan kesedaran dan memastikan gesaan terhadap pembaharuan agar didengar adalah dengan mengadakan perhimpunan jalanan.
Demonstrasi jalanan pertama Bersih diadakan pada 10 November 2007, kira-kira empat bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8 pada 8 Mac 2008 yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen buat kali pertama sejak 1969.
Perhimpunan Bersih kelima dan terakhir diadakan pada 19 November 2016, dan ketika ia masih menuntut reformasi pilihan raya, ia juga merangsang sentimen anti-BN yang kuat ketika berlaku pendedahan skandal yang melibatkan perdana menteri Najib Razak dan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Kerajaan ketika itu tidak terbuka untuk berdialog, kata Fann.
“Sebelum ini, tanpa sebarang pilihan, kami terpaksa mengadakan protes agar permintaan kami didengar, tetapi selepas PRU14, Bersih mempunyai peranan yang sedikit berbeza.
“Banyak pembaharuan institusi dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Harapan (dan) melihat peranan kami mengingatkan kerajaan terhadap janji mereka, untuk melibatkan diri berhubung cara untuk memenuhi semua janji ini,” katanya.

Selepas 11 tahun berjuang, Bersih masih menjadi pemerhati, mengawasi untuk memastikan reformasi dimulakan.
“Kami masih berpegang kepada impian yang sama seperti sebelum ini iaitu mahu memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, dan memastikan institusi kerajaan tetap bebas,” kata Fann. – 17 November, 2018.
Komen