SEORANG wanita rakyat Indonesia yang mendedahkan kecurangan bosnya dihukum penjara enam bulan.
Keputusan mengejut Mahkamah Agung itu membatalkan keputusan mahkamah rendah yang melepaskan Baiq Nuril Maknun, kerana melanggar undang-undang dengan penyebaran bahan tidak senonoh.
“Saya sedih dan terkejut dengan hukuman ini,” kata suami Baiq, Lalu Muhamad Isnaini pada Jumaat sebagai reaksi terhadap keputusan itu.
Kes itu bermula pada 2012 apabila Baiq merakam perbualan pengetua sekolah, tempat beliau bertugas di pulau Lombok yang mendedahkan butiran seksual mengenai skandal lelaki itu dengan rakan setugas lain.
Rakan sekerja di sekolah - yang turut pernah digoda pengetua - kemudian meyakinkan Baiq agar mendedahkan rakaman itu yang membuktikan perlakuan tidak senonoh pengetua, menurut peguamnya, Joko Jumadi.
“Pengetua berkongsi maklumat yang sangat jelas tentang skandalnya dengan bendahari sekolah dalam rakaman itu,” katanya kepada AFP.
Susulan itu, pengetua berkenaan memecat Baiq dan memfailkan aduan dengan pihak berkuasa.
Baiq pada mulanya dibebaskan daripada tuduhan oleh mahkamah tempatan di Lombok.
Tetapi Jumaat lepas, mahkamah tertinggi Indonesia membatalkan keputusan itu, mendapati beliau bersalah kerana melanggar undang-undang maklumat elektronik dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan derta denda 500 juta rupiah (AS$34,000).
Baiq, 36, memberitahu pemberita tempatan keputusan itu tidak adil.
“Saya hanya mangsa - salah apa yang saya buat?” soal beliau.
Mahkamah tidak memberikan sebarang alasan bagi keputusan yang dibuat.
Pejabat pendakwa di Lombok memberitahu AFP pada hari Jumaat ia sedang mengkaji semula perkara itu sebelum Baiq menjalani hukumannya.
Sistem keadilan yang korup di Indonesia sekian lama dikritik kerana kualiti keputusannya, ketika undang-undang maklumat elektronik itu sendiri dikecam kerana terlalu kabur dan terbuka terhadap sebarang penyalahgunaan. – AFP, 17 November, 2018.
Komen