Ketirisan, gejala rasuah kerajaan lama punca bajet Sabah berkurangan, kata Shafie


Jason Santos

SABAH tidak dapat membentangkan belanjawan berjumlah RM15 bilion pada tahun ini kerana peruntukan yang rendah diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada negeri itu, kata Ketua Menterinya, Shafie Apdal.

Katanya peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM5.009 bilion adalah tidak mencukupi, tetapi beliau tidak menyalahkan kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan.

“Disebabkan ketirisan dan rasuah yang berlaku pada pentadbiran lalu, kita perlu menggunakan peruntukan yang sedia ada,” katanya pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong di Kota Kinabalu hari ini.

Katanya Sabah membentangkan bajet sebanyak RM3 bilion pada 10 tahun lalu dan jumlah itu hanya meningkat kepada RM4 bilion pada hari ini.

“Realitinya, Sabah perlu membentangkan bajet berjumlah RM15 bilion.”

Beliau berkata Sabah masih ketinggalan jauh dari pelbagai aspek termasuk sekolah dan keselamatan dan pemimpin gagal memperjuangkan hak mereka.

“Sebagai contoh, Sabah hanya meminta 20% daripada hasil minyak, kita tidak minta lebih daripada itu.

“Tetapi apabila saya bertemu dengan Petronas, mereka berkata memperuntukkan sejumlah besar wang untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Saya memberitahu mereka jika CSR itu diberikan kepada masyarakat tertentu, hanya sejumlah kecil sahaja yang gembira.

“Namun jika mereka memberi hak royalti Sabah, Petronas akan membuatkan lebih tiga juta penduduk Sabah gembira.

Ahli Parlimen Semporna itu turut membuat perbandingan dengan bajet Sarawak yang berjumlah RM11 bilion.

“Kenapa Sarawak boleh berbuat demikian, dan mereka akan mempunyai lebihan sebanyak RM3 bilion.

“Ini kerana mereka menguruskan kewangan dengan baik dan mampu menanggung perbelanjaan,” katanya.

Shafie turut memberi amaran kepada barisan Kabinetnya agar tidak membolot kekayaan negeri itu.

Beliau mahu mereka turun ke lapangan untuk melawat dan membantu rakyat Sabah.  – 16 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen