Kami bukan tagih bantuan, kata penoreh getah


Zaim Ibrahim

Wan Hamid Mat Piah (kiri) dan Mohamad Nor Manas (kanan) meluahkan perasaan mereka ketika ditemui di rumah mereka di Baling, Kedah pada 14 November lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 November, 2018.

GOLONGAN penoreh di Baling, Kedah tidak sanggup lagi hidup dengan hasil RM1 sekilogram daripada kerja menoreh.

Menurut mereka tiada cara lain untuk keluar dari kesempitan ini selain menaikkan harga dari RM2 sekilogram kepada RM3 hingga RM4 sekilogram.

Dengan cara itu, mereka tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan kerajaan, kata penoreh ini ketika ditemui The Malaysian Insight.

Mereka menjelaskan, daripada setiap hasil RM2 sekilo, penoreh perlu membayar RM1 kepada tuan tanah menyebabkan kehidupan mereka seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 

Mohamad Nor Manas, 61, berkata harga getah pernah tinggi ketika zaman Abdullah Badawi menjadi perdana menteri sehingga RM7 sekilo tetapi menurun sehingga sekarang.

Sejak itu, harga turun naik dan paling tinggi hanya sekitar RM3 hingga RM3.50, katanya yang mahu harga getah dinaikkan semula.

“Kami minta, harga getah sekilo lebih tinggi. Naik RM4 hingga RM5 pun cukup dah. Kalau harga getah tinggi, apa-apa bantuan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak lagi diperlukan,” katanya,

Beliau yang ditemui di Kampung Cherok Puteh, Baling, Kedah berkata keadaan itu menyebabkan golongan penoreh getah sukar menampung perbelanjaan walaupun untuk membeli beras.

“Bayangkan sekilo (beras) RM26, sedangkan kita dapat RM10 untuk sehari. Nak makan apa?” soal beliau. 

Wan Hamid Mat Piah, 69, juga berkata, cadangan untuk menaikkan harga getah banyak kali disuarakan melalui Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (Pergetah) tetapi tiada hasil setakat ini. 

“Kami pernah bawa ke pihak atasan melalui Pergetah tetapi tiada tindakan untuk naikkan harga getah. Kami juga tidak tahu apa punca (harga getah turun) tetapi mungkin Lembaga Getah Malaysia (LGM) tidak pantau harga yang dibeli oleh kilang,” jelasnya.

Pengerusi Pergetah Mohd Taufik Yaacob berkata harga getah itu perlu dinaikkan dan kerajaan melalui rundingan bersama negara pengeluar getah lain. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 November, 2018.

Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan akan mengkaji untuk meningkatkan harga lantai getah yang ketika ini ditetapkan pada kadar RM2.20 sekilogram oleh LGM. 

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin pada waktu itu menyatakan, kajian sedang dijalankan untuk menaikkan harga itu kepada antara RM3 hingga RM4 sekilogram.

Mengulas komitmen itu, Pengerusi Pergetah Mohd Taufik Yaacob berkata harga getah itu perlu dinaikkan dan kerajaan melalui rundingan bersama negara pengeluar getah lain.

“Kerajaan boleh naikkan harga lantai getah dengan adakan rundingan meja bulat dengan negara-negara pengeluar getah. Kita tidak boleh keseorangan, kita akan bankrap. 

“Negara- negara pengeluar getah perlu wujudkan satu pakatan yang bersungguh-sungguh untuk mengikat harga lantai,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Jelasnya, penetapan harga lantai juga tidak akan bertahan lama kerana negara-negara pembeli akan mencari negara pengeluar getah yang lebih murah.

Beliau turut mengakui, mekanisme pengiraan harga getah tidak adil hingga menguntungkan pemain industri tetapi meminggirkan penoreh-penoreh getah di kampung.

“Pengiraan sistem sekarang ada permainan yang beri keuntungan kepada kilang tetapi menindas penoreh getah. Salah satu faktor puncanya ialah, pihak LGM tidak pantau harga dibuat oleh kilang.

LGM kena seragamkan kadar pengiraan (yang dibuat oleh kilang). Kos operasi berbeza-beza, ada 80 sen, ada 90 sen, dan ada RM1,” jelasnya.

Beliau turut menambah, kerajaan juga boleh mewujudkan Rubber City atau Bandar Getah untuk membantu meningkatkan industri getah seterusnya memberi keuntungan kepada penoreh.

“Kita boleh bersaing (dengan negara pengeluar lain) jika proses sendiri produk dan bina kilang-kilang berasaskan getah. Contohnya, produk sarung tangan ia mencecah berbilion ringgit.

“Kita dapat wujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan permintaan. Kita tidak perlu bergantung kepada negara luar,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan menyalurkan RM50 juta kepada pekebun kecil getah sekiranya harganya jatuh di bawah RM2.20. 

Kerajaan juga akan menggunakan getah dalam pembinaan jalan raya dengan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) bagi meningkatkan permintaan getah. – 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen