Pakatan akan mansuh, pinda 113 undang-undang


Jason Santos Bede Hong

Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Liew Vui Keong berkata langkah itu bagi memenuhi manifesto kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

SEBANYAK 113 undang-undang akan dipertimbangkan sama ada  perlu dimansuhkan atau dipinda bagi memenuhi manifesto kerajaan Pakatan Harapan, kata Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Liew Vui Keong.

Antaranya termasuk Ordinan Buruh Sabah Bab. 67 berkaitan cuti bersalin selama 90 hari, Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 untuk membangkitkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun dan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Akta 164) berkaitan status penukaran agama anak.

‘Selain itu, saya percaya penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang akan memansuhkan undang-undang yang menindas di negara ini bagi memastikan pentadbirannya mengikut kedaulatan undang-undang,” katanya pada sesi dialog perundangan di Kota Kinabalu malam ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

Bag membantu pemilik perniagaan menjalankan urusan secara dalam talian dengan dasar ‘mesra perniagaan’ seperti disarankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Liew berkata pindaan akan dibuat ke atas Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Katanya undang-undang dari zaman pemerintahan British juga akan dipinda.

Ia termasuk Ordinan Perlesenan Perniagaan 1948 Sabah yang memerlukan pemilik perniagaan di negeri itu mendaftar dengan majlis perbandaran tempatan.

Selain itu, pindaan akan dilakukan ke atas Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang buat masa ini tidak memerlukan kapal yang merancang untuk belayar di perairan Malaysia untuk mendaftar.

Liew berkata Putrajaya akan membentuk pasukan petugas khas dengan kerajaan Sabah bagi meningkatkan perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua pihak.

Bagi rakyat Sabah, Liew berkata kerajaan PHn komited untuk memperbaharui mahkamah adat dan memperbaiki hak mereka.

Katanya kerajaan PH juga komited memulangkan kuasa negeri itu menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet yang dibentuk 10 Oktober lalu dan diketuai Dr Mahathir untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963. – 16 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen