Ketua Wanita PKR mahu senarai anggota dibersihkan


Nabihah Hamid

Ketua Wanita PKR yang bahary, Haniza Talha mengulas kepimpinan baharu wanita penggal 2018-2021.. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

KETUA Wanita PKR yang baharu, Haniza Talha menggesa parti menyemak semula senarai anggota parti itu untuk memastikan ia benar-benar bersih. 

Beliau berkata pihaknya akan membangkitkan perkara tersebut dalam kongres yang berlangsung esok. 

“Perkara ini kita bangkitkan supaya jawatan kuasa yang baru atau pemimpin baru yang akan dilantik akan melihat isu keanggotaan untuk bersihkan senarai ahli. 

“Ia supaya mana-mana ahli yang sudah keluar dan tinggalkan parti itu tidak lagi berada dalam senarai ahli, dan mengemaskini (ahli sedia ada). 

“Ada juga terdapat ahli yang namanya tidak senaraikan. Saya harap selepas ini wanita juga akan mainkan peranan untuk penambahbaikan,” katanya dalam sidang media petang ini.

Beliau mengulas mengenai laporan The Malaysian Insight berhubung dakwaan seorang pemimpin Pemuda Umno yang mendakwa namanya tersenarai sebagai ahli PKR yang layak mengundi. 

Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kota Raja Muhammad Nur Aiman Abdullah mendakwa demikian berdasarkan satu mesej suara dari nombor telefon yang tidak dikenali.

Haniza dalam pada itu turut menyahut seruan Presiden PKR Anwar Ibrahim agar semua anggota kembali bersatu selepas pemilihan. 

“Selepas ini kita akan bersama-sama dan buat kerja. Selepas ini kita akan mula jelajah wanita dan bertemu ketua cabang untuk mewakili melaksanakan agenda martabat wanita,” katanya kepada media. 

Haniza diumum ketua Wanita PKR bagi sesi 2018-2021 selepas menewaskan pencabarnya, Fuziah Salleh. 

ADUN Lembah Jaya itu turut menang bersama regunya, ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi, kedua-duanya dari kem timbalan presiden Azmin Ali. 

Bagaimanapun, lapisan pemimpin wanita di peringkat lain didominasi pemimpin kem Rafizi Ramli iaitu Faizah Ariffin dan Wasanthee Sinnasamy yang menang naib ketua wanita. 

Seramai 12 orang dari kem Rafizi juga berjaya meraih jawatan exco Wanita, selain lapan orang dari kem Azmin. 

Kongres bertemakan ‘Wanita Muafakat Terus Mara’ disertai seramai lebih 1,000 perwakilan termasuk pemerhati daripada cabang seluruh 14 negeri. 

Haniza dalam sidang media sama turut berkata beliau akan memanggil semua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Wanita untuk berbincang mengenai pelan tindakan seterusnya sayap parti itu.

“Dalam majlis kepimpinan baharu ini, ramai juga menampilkan muka baharu merentasi negeri sehingga ke Sabah selain wakil rakyat serta exco kerajaan negeri. 

“Saya meletakkan harapan yang tinggi pada pasukan ini dengan adanya muka baharu yang pastinya akan bawa idea-idea baharu,” katanya lagi. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen