Lebih 100 pelarian Rohingya diselamatkan di perairan Myanmar


Lebih 100 etnik Islam Rohingya ditemukan dalam sebuah bot di selatan perairan Myanmar hari ini selepas melarikan diri dari kem pelarian di negara itu.

Kesemua 106 pelarian itu menghabiskan masa selama 15 hari di laut selepas gagal melarikan diri ke Malaysia.

Mereka ditemukan dalam bot kayu di Laut Andaman dekat perairan pekan Kyauktan, selatan Yangon.

Antara mereka yang menaiki bot itu termasuk 23 kanak-kanak dan seorang kanak-kanak perempuan yang telah meninggal dunia kira-kira sembilan hari lalu.

Kebanyakan pelarian lain merupakan orang lelaki dan mereka daripada beberapa kem penempatan Rohingya di Sittwe, Rakhine.

Mereka mengakui melarikan diri dari kem tersebut sejak 15 hari lalu untuk menuju ke Malaysia.

Kumpulan pelarian itu diiringi anggota Palang Merah tempatan dan pegawai imigresen ke pekan Kyauktan dengan menaiki lapan van dan ditemai empat anggota polis lengkap bersenjata dalam setiap kenderaan.

Setibanya di Kyauktan, mereka ditempatkan di sebuah dewan komuniti.

Difahamkan, mereka meninggalkan kem itu ekoran kekurangan makanan. – AFP, 16 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen