RUSIA akan melancarkan roket Soyuz untuk membawa kapal angkasa kargo ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini selepas kegagalan menghantar dua angkasawan ke lokasi sama pada bulan lalu.
Dalam insiden pada 11 Oktober lalu, roket Soyuz yang membawa angkasawan Rusia Aleksey Ovchin dan Amerika Syarikat Nick Hague terpaksa melakukan pendaratan cemas hanya 11 minit selepas dilancarkan.
Ia merupakan kegagalan pertama dalam sejarah penerokaan angkasa sejak era selepas Soviet memandangkan Rusia merupakan satu-satunya negara yang mampu menghantar angkasawan ke ISS.
Bagi persediaan kali ini, agensi angkasa Rusia Roscosmo berkata pusat kawalan misi telah selesai untuk melancarkan roket Soyuz yang membawa kapal angkasa kargo Progress MS-10.
Pelancaran itu dijadualkan berlangsung pada pukul 6.14 petang waktu tempatan.
Proses yang dilakukan di Baikonur di Kazakhstan itu merupakan persediaan bagi misi menghantar angkasawan pada 3 Disember depan.
Misi itu melibatkan angkasawan Rusia Oleg Kononenko, David Saint-Jacques (Kanada) dan Anne McClain (NASA).
NASA merancang untuk melancarkan roket yang mebawa bekalan sendiri pada Khamis tetapi proses itu terpaksa ditangguhkan sehingga minggu depan ekoran cuaca buruk.
Kapal angkasa kargo Progress MS-10 mengambil masa 48 jam untuk tiba di ISS dengan membawa bekalan minyak, oksigen, air dan bahan saintifik. – AFP, 16 November, 2018.
Komen