Jumlah sebenar pendatang asing di Sabah lebih tinggi, kata Azis


Jason Santos Bede Hong

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman mengulas tentang isu pendatang asing di Sabah pada sesi dialog undang-undang bersama ahli Parlimen dan Adun Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

PEMEGANG Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen hanya sejumlah kecil berbanding jumlah sebenar pendatang asing di Sabah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman.

Beliau berkata masalah itu menjadi kronik kerana populasi pendatang asing mungkin lebih besar berbanding dilaporkan ekoran kewujudan dokumen palsu yang dikeluarkan oleh sindiket haram.

“Jabatan Imigresen hanya merekodkan 55,000 pemegang kad IMM13 yang aktif. Tetapi sebenarnya jumlah itu hanya sebahagian kecil. Saya percaya jumlah sebenar lebih tinggi disebabkan wujudnya pengeluaran dokumen palsu.

“Saya percaya ramai pendatang asing sanggup membayar untuk mendapatkan dokumen tersebut walaupun ianya palsu,” katanya ketika berucap pada sesi dialog perundangan bersama ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Disebabkan tidak mengetahui jumlah sebenar, Azis menekankan kepentingan terhadap keperluan menyediakan dokumen kepada semua pendatang asing di Sabah bagi membantu golongan itu bercampur dengan masyarakat.

Katanya proses dokumentasi juga akan membantu pihak polis apabila melibatkan kes jenayah dalam kalangan pendatang asing.

Azis berkata proses dokumentasi tidak melibatkan soal pemberian kerakyatan dan pas pendatang asing tidak membenarkan mereka untuk mengundi.

“Sabah memerlukan kekuatan politik untuk menyelesaikan masalah pendatang asing.

“Namun ada segelintir ahli politik pembangkang lebih suka isu ini tidak diselesaikan untuk meraih kepentingan politik,” katanya. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen