Tunaikan janji manifesto atau hilang sokongan belia, kata perwakilan AMK


Asila Jalil

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan golongan belia meninggalkan parti itu ekoran ketidakmampuan kerajaan menunaikan janji manifesto pilihan raya lalu.

Perwakilan AMK PKR Wilayah Persekutuan Muhammad Fikri Khalid berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana janji-janji yang dibuat oleh pakatan itu.

Memetik kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre, beliau berkata kira-kira 68% golongan belia berusia antara 21 dan 30 tahun tertarik dengan janji-janji PH pada PRU14. Kajian itu melibatkan kira-kira 3,000 responden.

“Kita perlu akui bahawa antara faktor kemenangan kita adalah disebabkan ‘janji manis’ yang dibuat oleh PH, seperti dikatakan pembangkang.

“Malah 85% responden mendapati manifesto parti memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya umum.

“Kita bimbang jika golongan belia yang mengundi kita pada PRU lalu akan beralih arah jika PH tidak menunaikan janji,” katanya pada sesi perbahasan pada Kongres AMK PKR di Shah Alam hari ini.

Antara janji PH yang beliau tekankan adalah penyediaan sejuta peluang pekerjaan apabila memperoleh kuasa.

Katanya golongan belia tidak berminat dengan senario politik negara dan secara umumnya muak dengan perkembangan semasa.

“Saya berharap AMK dan PKR tidak memandang remeh perkara ini.

“AMK Wilayah Persekutuan mencadangkan kerajaan untuk menyediakan insentif kepada syarikat tempatan atau antarabangsa yang mampu memberi peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi,” katanya. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Terima kasih The Malaysian Insight

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Muhammad fikri khalid · Ulasan