Kami singkir kalau buat onar, kata Srikandi kepada bekas Umno dalam PKR


Nabihah Hamid

Ini parti rakyat Malaysia, parti yang pemimpin yang berpijak di bahu-bahu peniaga, nelayan, dan penguasaha kecil di bawah bukan tauke atau tokan yang boleh dibeli, kata Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

KETUA Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail memberi amaran kepada bekas pemimpin Umno yang menang jawatan dalam pemilihan parti terbaru supaya tidak membuat kacau dalam parti. 

Katanya, sekiranya mereka mengamalkan budaya politik Umno, ahli parti reformasi akan mendesak pemecatan mereka.

“Saya nak beri peringatan kepada pemimpin ini kamu menang pemilihan, kami kena terima tidak apa. Tapi kami nak beritahu pada pemimpin Umno yang menang ketua cabang, Majlis Pimpinan Pusat, Wanita atau AMK (Pemuda). Kamu buat onar dalam parti, kami angkat humban kamu keluar dalam parti. 

“Ini parti rakyat Malaysia, parti yang pemimpin yang berpijak di bahu-bahu peniaga, nelayan, dan penguasaha kecil di bawah bukan tauke atau tokan yang boleh dibeli,” katanya pada ucapan penggulungan ketua Srikandi Kongres Tahunan Wanita 2018 di Shah Alam. 

Ketua Penerangan Perak itu mendakwa ramai ahli baharu yang menyertai parti tidak sampai enam bulan tetapi menang pada pemilihan baru-baru ini. 

“Rakan-rakan dalam pertembungan ini, ramai yang setia, yang lama, gugur syahid dalam pemilihan. Ramai terpaksa berkorban posisi mereka untuk memberi ruang kepada mereka yang baru, yang tidak tahu timbul dan datang dari mana. 

“Ada yang baru masuk enam bulan parti, dapat keizinan bertanding menang jawatan dalam parti. Dulu dia Umno BN,” katanya lagi didepan ratusan perwakilan Wanita seluruh negeri. 

Tahun ini, keahlian PKR naik mendadak daripada 300,000 ke 800,000 orang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu. 

Parti reformasi itu turut membenarkan 800,000 ahli mengundi dan mereka yang memohon sebelum 26 Jun lalu dibenarkan untuk bertanding pemilihan tahun ini. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen