POLIS Turki hari ini menahan beberapa pensyarah dari dua universiti di Istanbul kerana ada kaitan dengan seorang aktivis hak asasi Osman Kavala yang dipenjarakan, lapor media tempatan.
Profesor Betul Tanbay dari Universiti Bogazici yang berprestij dan Profesor Turgut Tarhanli dari Universiti Bilgi adalah antara yang ditahan, lapor stesyen TV swasta, NTV.
Pensyarah tersebut adalah ahli Anadolu Kultur (Kebudayaan Anatolian) yang dipengerusikan Kavala yang telah dipenjarakan lebih setahun lalu tetapi masih belum didakwa.
Tidak dapat dipastikan apakah pertuduhan ke atas pensyarah terbabit.
Ahli Parlimen pembangkang daripada Parti CHP, Sezgin Tanrikulu mengecam penahanan itu menerusi Twitternya.
“Sekali lagi penahanan pada Jumaat…mereka yang mengharapkan normalisasi daripada rejim ini patut terus bermimpi.”
Kavala, seorang dermawan dan pengasas bersama syarikat penerbitan Iletisim dan dikenali dalam kalangan cendikiawan di Turki dan luar negara disyaki “cuba melanggar aturan perlembagaan”.
Menurut peguamnya, pihak berkuasa Turki mengesyaki beliau ada kaitan dengan cubaan menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Julai 2016, serta membiayai demonstrasi anti kerajaan ketika pergerakan Gezi pada 2013.
Anadolu Kultur bermatlamat untuk mengatasi perbezaan dalam masyarakat Turki menerusi kebudayaan dan kesenian. – 16 November, 2018.
Komen