Taufan Gaja seberangi Selatan India


Menurut pegawai meteorologi, Taufan Gaja membawa kekuatan angin kira-kira 120 kilometer sejam. Badai itu diramal bergerak ke Laut Arab melalui Tamil Nadu dan Kerala di barat tengah. – Gambar EPA, 16 November, 2018.

TAUFAN ‘Gaja’ menyeberangi pantai Tamil Nadu di selatan India pada Jumaat, mencetuskan angin kencang dan hujan lebat, lapor agensi berita Xinhua.

‘Gaja’ mendarat di antara Nagapattinam dan Vedaranyam, mengakibatkan banyak pokok tumbang dan bumbung rumah rosak.

Menurut pegawai meteorologi, taufan itu membawa kekuatan angin kira-kira 120 kilometer sejam, namun tiada laporan kematian dilaporkan setakat ini. 

“Ia turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 12. 30 pagi (waktu tempatan) hari ini,” kata pegawai itu. 

Badai itu diramal bergerak ke Laut Arab melalui Tamil Nadu dan Kerala di barat tengah.

Laporan mengatakan 76,290 penduduk di kawasan rendah telah dipindahkan dan berlindung di lebih 300 pusat pemindahan di enam daerah, termasuk Nagapattinam, Pudukottai, Ramanathapuram dan Tiruvarur.

Selain itu, pihak berkuasa menutup institusi pendidikan di beberapa daerah pada  Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga. – Bernama, 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen