JANGAN jadi seperti Barisan Nasional yang pinggirkan Sabah dan Sarawak selama 60 tahun, gesa perwakilan Pemuda PKR hari ini.
Gesaan itu ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Pemuda Sarawak Simon Siah ketika membahaskan kesengsaraan negerinya yang bukan sahaja mundur pembangunan tetapi juga ekonomi dan pendidikan.
“Pembangunan yang tidak seimbang menyebabkan saudara saudari (penduduk Sarawak) tercicir dan menyebabkan mereka semakin ketinggalan. Kerajaan harus bantu golongan bawahan ini.
“Selama ini dalam pentabdiran kerajaan BN, Sarawak dianaktirikan. Kekayaan Sarawak dicuri dan tanah Sarawak dirampas kroni-kroni sehingga orang Sarawak semakin sengsara.
“Eletrik tiada, jalan tiada, air bersih tiada, pendidikan juga tiada,” katanya pada Kongres Nasional Pemuda PKR 2018 di IDCC, Shah Alam hari ini.
Sementara itu, pembahas daripada Pahang, Mohd Mustaqim berpendapat segala kekayaan yang diperolehi negara perlu dikongsikan dengan Sabah dan Sarawak.
“Kita meminta perhatian khusus diberikan kepada masyarakat terutamanya Sabah dan Sarawak yang sudah lama diketepikan dari sudut pembangunan, kemajuan dan pendidikan
“Pembangunan dikecap di Semenanjung harus dikongsi pada Sabah Sarawak kerana mereka merupakan adik-beradik,” katanya dalam perbahasan selama tiga minit itu.

Hari ini, ratusan perwakilan dari 14 buah negeri bersidang bagi menamatkan penggal ke-12 (2014-2018).
Sebanyak 14 pembahas dari setiap negeri dijadualkan berucap sejak pagi dan akan berakhir dengan pengumuman barisan kepimpinan baharu lewat petang ini. – 16 November, 2018.
Komen