TERDAPAT sekitar 500,000 penduduk warga asing merangkumi pelarian, warga asing yang tinggal melebihi masa dan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ismail Ahmad.
Warga asing kategori ini membawa masalah yang lebih besar kepada pihak berkuasa berbanding kewujudan pendatang asing tanpa izin di Sabah, kata Ismail.
“Pendatang asing tanpa izin, bilangan mereka sebenarnya tak ramai. Kita tangkap, kita hantar balik,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Bagaimanapun, akibat tanpa dokumentasi yang betul, pihak berkuasa selalu tersilap menahan golongan ini.
Data terkini JPN menunjukkan 2,894,984 adalah penduduk Sabah, yang mana 44,482 adalah penduduk tetap manakala 24,605 mempunyai visa pemastautin sementara, kata Ismail.
Laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 menyatakan kira-kira 27% penduduk di Sabah adalah warga asing.
Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen Sabah mendakwa terdapat lebih ramai pendatang asing tanpa izin di negeri itu berbanding 800,000 yang dilaporkan.
Ismail berkata selain daripada membanteras pendatang asing tanpa izin, pihak berkuasa menghadapi kesukaran dalam memantau dan menjejaki warga asing ini.
Beliau memberikan contoh, daripada setengah juta warga asing yang tinggal di Sabah, lebih daripada 50,000 memegang pas IMM13 yang memberi status pemastautin tetap yang kemudiannya akan diberi kewarganegaraan terutamanya kepada pendatang Islam Filipina atau pelarian yang melarikan diri dari selatan Filipina berdekad dahulu. – 16 November, 2018.
Komen