KEPIMPINAN tertinggi PKR perlu meneliti semula proses pemilihan dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana ia tidak mencerminkan prinsip demokrasi sebenar yang diamalkan parti, kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin.
Afif yang bertanding merebut jawatan ketua Pemuda PKR dalam pemilihan kali ini berkata, dengan keahlian sejumlah 850,000 ahli, parti itu gagal menguruskan pemilihan mereka dengan sempurna.
Tempoh sembilan minggu untuk pemilihan juga memenatkan emosi ahli, tambahnya.
“Kita perlu sedar diri proses pemilihan parti kita ada kekurangannya, bukan sahaja sistem pengundian elektronik, itu hanya mekanisme, tetapi prinsip demokrasi secara langsung perlu diteliti semula oleh parti.
“Kerana ia tidak mencerminkan prinsip demokrasi sebenar yang kita pegang dalam parti,” katanya, kepada pemberita selepas Kongres Pemuda PKR, di Shah Alam, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya itu berkata, penambahbaikan itu perlu dilakukan kerana keahlian PKR dijangka bakal mencecah 1.6 juta keahlian dengan pemilihan Anwar Ibrahim sebagai presiden parti.
“Sekarang kita ada 850,000 ahli dan kita tidak boleh uruskan pemilihan, kita kena cari jalan untuk memperbaiki proses pemilihan,” katanya.
Penambahbaikan, katanya perlu dilakukan sekiranya PKR masih mahu kekal relevan dalam arena politik tanah air.
“Sesiapa sahaja yang memenangi pemilihan parti termasuk daripada timbalan presiden dan barisan kepimpinan baru, mereka perlu melihat semula perkara ini.
“Saya berpendapat kita harus laksanakan penambahbaikan dari dalam parti supaya kekal progresif dan relevan dalam arena politik negara,” kata Dr Afif.
Proses pemilihan katanya memakan masa dan tenaga kerja yang besar, dan kelemahan yang berlaku memberikan kesan kepada rakyat.
“Saya terlibat dengan pemilihan parti sebanyak tiga kali, bermula 2010, 2014, dan 2018. Ia menggunakan tenaga kerja yang besar dan pada pandangan saya ia tidak produktif untuk kita lalui proses ini begitu lama.
“Sebagai parti politik, kita kena tunjukkan keupayaan kepada rakyat dan jika kita gagal maka keyakinan umum kepada kita semakin hari semakin terhakis,” katanya.
Sumber dalaman PKR hari ini berkata, Akmal Nasir dipilih sebagai ketua pemuda PKR yang baru menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad selepas menewaskan Dr Afif.
Akmal menang tipis mengatasi Afif tidak lebih 50 undi, menurut sumber.
Keputusan itu dijangka akan diumumkan dalam kongres Pemuda PKR petang ini. – 16 November, 2018.
Komen