Pendatang Filipina di Sabah tidak lagi boleh dihantar pulang


Jason Santos

Terdapat 50,000 pemegang pas sementara IMM13 di Sabah, mereka adalah warga Filipina yang melarikan diri daripada perang saudar a pada 1970-an. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

KERAJAAN Persekutuan akan berdepan kesukaran mengusir pendatang Filipina yang memegang pas sementara IMM13 di Sabah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman.

Ini adalah kerana kerajaan Filipina tidak lagi mengiktiraf mereka sebagai warganegara, katanya.

“Ada cadangan untuk menghantar pulang pemegang IMM13 dan kita juga mahu hantar mereka pulang. Tetapi, isu utamanya sekarang adalah Filipina tidak akan menerima mereka.

“Jadi apa kita patut buat? Kita tak boleh tinggalkan mereka. Ia sekarang jadi masalah Sabah,” kata Azis pada dialog masalah undang-undang antara kehakiman, agensi kerajaan dan wakil rakyat Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

IMM13 adalah pas sementara yang dikeluarkan kepada pendatang bermula pada 1963. Sejak itu, 90,000 pas sudah dikeluarkan, walaupun hanya 50,000 yang masih aktif.

Kebanyakan pemegang pas tersebut adalah rakyat Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an kerana perang saudara di selatan Filipina. Pas itu dihentikan pengeluarannya pada 1978 selepas kerajaan Filipina dan Indonesia mengeluarkan pasport.

Bagaimanapun, mereka yang diberikan pas IMM13 boleh memperbaharuinya secara tahunan.

Dialog disertai Azis itu menumpukan kepada isu kewarganegaraan, pendatang dan penduduk tanpa kerakyataan di Sabah.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata beliau berharap dialog itu boleh mencadangkan penyelesaian kepada isu tersebut.

“Saya fikir kita perlu tawarkan pemegang IMM13 sejenis dokumentasi untuk membolehkan mereka tinggal di Sabah dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

“(Tetapi) dokumen itu bukan kewarganegaraan,” katanya.

Tambahnya lagi, perkara sama berkaitan pelarian Rohingya juga dibincangkan di Parlimen dan cadangan supaya mereka diberikan IMM13 dikemukan.

Tetapi, Azis berkata Sabah tidak boleh menerima pelarian Rohingya kerana negeri itu masih lagi berusaha menyelesaikan masalah pendatang Filipina.

Beliau memberikan amaran Semenanjung bakal berdepan masalah serupa Sabah sekiranya IMM13 diberikan kepada Rohingya. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen