KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) perlu ingat bahawa rakyat tidak lagi takut untuk menukar kerajaan, kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi berkata, rakyat tidak akan memaafkan PH sekiranya gagal mentadbir negara dengan cara baru selepas mengambil alih kerajaan.
“Rakyat Malaysia telah kehilangan ketakutan mereka untuk mengubah kerajaan. Vox populi vox dei, suara rakyat suara keramat.
“Dan kita mesti menghargai kepercayaan yang mereka berikan dengan bukan hanya menjadi kerajaan baru, tetapi juga mentadbir serta berkhidmat kepada negara dengan cara yang baru,” katanya.
Dalam ucapan dasarnya di Kongres Pemuda PKR ke-13 di Shah Alam, hari ini, Nik Nazmi berkata, pembaharuan pentadbiran kerajaan juga harus menyeluruh dan teliti tanpa mengabaikan mana-mana aspek.
“Ia memerlukan kesabaran, kadang-kadang kita mungkin marah kerana kemajuan yang dibuat tidak sesuai dengan keinginan kita.
“Tetapi saya percaya ini merupakan cara terbaik untuk masa hadapan. Orang ramai, media, masyarakat sivil dan penyokong selaku tulang belakang mesti bertanggungjawab terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau turut mengakui, banyak yang perlu kerajaan laksanakan untuk memperbaiki salah urus kerajaan terdahulu.
“Ada banyak yang perlu dilakukan, saya tahu… tetapi itulah tugas yang ada di hadapan kita, beberapa dekad salah urus dan penindasan tidak mudah diperbetulkan.
“Pastinya tidak akan dilakukan semalaman. Tetapi mari kita mulakan. Orang-orang tidak akan memaafkan kita jika kita mensia-siakan peluang untuk menyelamatkan Malaysia,” kata Nik Nazmi dalam ucapan terakhirnya sebagai ketua Pemuda PKR.
Nik Nazmi berkata, kejayaan PH pada 9 Mei menunjukkan Malaysia berupaya menjadi contoh kepada masyarakat dunia.
“Kita sentiasa menjadi contoh dunia dan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh menjadi contoh dalam isu ini juga, apa yang diperlukan adalah perpaduan, kerja keras, dan ketekunan.
“Kita boleh meraikan kejayaan pada 9 Mei lalu tetapi telah tiba masanya untuk kita bekerja keras, sekarang ialah masa untuk kita menyinsing lengan memulakan tugas berat ini,” kata Nik Nazmi lagi. – 16 November, 2018.
Komen