Mangsa hilang dalam kebakaran di California cecah 600 orang


Sebuah bangunan terbakar di Butte County, California. Pihak berkuasa memaklumkan jumlah mangsa terkorban kini mencecah 63 orang. – Gambar EPA, 16 November, 2018.

JUMLAH penduduk yang disenaraikan sebagai hilang di dalam kebakaran hutan paling dahsyat di California melonjak 600 orang, kata pihak berkuasa pada Khamis, ketika mayat tujuh mangsa lagi ditemui oleh penyelamat.

Sherif Butte County, Kory Honea berkata bilangan mangsa hilang bertambah lebih dua kali ganda kepada 631 ketika penyiasat kembali dan memeriksa panggilan kecemasan yang dibuat apabila kebakaran bermula seminggu lalu.

“Saya mahu anda faham bahawa huru hara yang kita hadapi adalah luar biasa apabila kebakaran bermula,” katanya kepada wartawan, bagi menjelaskan bilangan terbaharu mangsa yang mendadak.

Tujuh mangsa terbaharu menjadikan 63 nyawa terkorban dalam insiden “Camp Fire” di utara California itu.

Sekurang-kurangnya tiga yang lain meninggal dunia di California selatan dalam kejadian kebakaran lain yang dikenali sebagai “Fire Woolsey”.

Presiden Donald Trump dijadualkan melawat California pada Sabtu untuk bertemu mangsa kejadian yang dipercayai terburuk dalam sejarah negeri itu. – AFP, 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen