Kerajaan perlu hati-hati laksana penjimatan, kata Pemuda PKR


Mohd Farhan Darwis Asila Jalil

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan tidak harus menghapuskan program khusus untuk membantu meringankan beban rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

KERAJAAN harus berhati-hati dalam melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaan negara untuk mengelakkan rakyat menjadi korban, kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata kerajaan tidak harus menghapuskan program khusus untuk membantu meringankan beban rakyat dalam usaha memperbaharui perbelanjaan kerajaan. 

“Apabila datang kepada rakyat Malaysia biasa, penjimatan mampu membunuh, PKR dan Pakatan Harapan mesti menginjak dengan teliti.

“Ya, kita perlu memperbaharui perbelanjaan kita. Ya, rasuah dan pembaziran mesti dihentikan, tetapi tidak semua program berbentuk bantuan kepada rakyat adalah buruk.

“Dan kita tidak boleh lupa sesetengah orang akan memerlukan bantuan dari masa ke semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pemuda PKR dalam Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Nik Nazmi berkata, langkah yang perlu dilakukan adalah memastikan program berkenaan dipisahkan daripada unsur politik kepartian.

“Apa yang perlu adalah memastikan program-program ini dipisahkan dari campur tangan politik kepartian, duit pembayar cukai perlu kembali kepada rakyat untuk kebajikan mereka, bukan poket kroni,” katanya.

Beliau berkata, apa sahaja perbelanjaan kerajaan sama ada dari segi infrastruktur atau program sosial akan dinikmati oleh rakyat yang seterusnya akan bekerja dan menyumbang kepada masyarakat.

Beliau memberi contoh, Bantuan Sara Hidup (BHS) yang sepatutnya merangsang rakyat untuk memperbaiki tahap kesihatan, pendidikan, mobilisasi sosial dan hasil ekonomi isi rumah.

“Rakyat harus diberi ganjaran untuk melakukan tingkah laku positif seperti berhenti merokok dan mengurangkan berat badan,” kata Nik Nazmi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ogos lalu menyatakan bahawa program BSH, yang dijenamakan semula daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia, akan dikurangkan dan seterusnya dihapuskan.

Menurutnya pemotongan wang percuma itu merupakan antara salah satu langkah penjimatan untuk mengurangkan bebanan hutang negara yang diumumumkan mencecah RM1 trilion.

Turut terjejas dengan langkah penjimatan itu adalah projek mega seperti Landasan Keretapi Pantai Timur, Saluran Paip Gas dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura.

Nik Nazmi berkata, kerajaan perlu sedar rakyat merupakan aset terbesar kerajaan dan langkah terbaik untuk mengalahkan tekanan ekonomi global adalah dengan terus melabur untuk rakyat.

“Saya tekankan, saya tidak menyokong perbelanjaan yang didorong oleh sifat boros dan cuai, tetapi pastinya tiada siapa yang boleh membantah untuk melabur dalam pendidikan yang lebih baik, kejiranan yang lebih lestari, dan jaringan keselamatan sosial untuk golongan yang paling terdedah,” katanya 

“Sebagai seorang bapa, saya tahu, isteri dan diri saya akan memastikan anak kami membesar menjadi seorang lelaki yang sihat dan terus menyumbang kepada negara.

“Ramai ibu bapa sanggup berlapar supaya anak-anak mereka boleh makan. Perkara sama harus diterapkan dalam kerajaan ketika berkhidmat untuk rakyat, untuk melindungi dan memanfaatkan potensi mereka, wang boleh dicari,” kata Nik Nazmi lagi. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen