APA yang lebih penting bagi persatuan-persatuan penduduk di Kuala Lumpur ialah Putrajaya menghentikan projek yang diluluskan oleh pegawai-pegawai terlibat rasuah, daripada gembira melihat bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dihadapkan dengan pertuduhan rasuah.
Pengerusi Save Taman Desa Coalition, Frank Yeh berkata mereka tidak kisah jika Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan didenda atau dipenjarakan sekalipun.
“Kami tidak terkejut Ku Nan didakwa. Kami mahu pembangunan yang diluluskan secara haram melalui rasuah dihentikan. Itu lagi penting bagi kami,” Yeh memberitahu The Malaysian Insight.
“Adakah Datuk Bandar (Nor Hisham Ahmad Dahlan) dan Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Samad) hentikannya?”
Ku Nan didakwa menerima RM1 juta dari Tan Eng Boon untuk menaikkan ratio plot tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur untuk pembangunan.
Beliau juga didakwa dengan pertuduhan menerima suapan RM2 juta dari Aset Kayamas Sdn Bhd dengan mengetahui syarikat itu dan lima lagi syarikat lain menjalankan urus niaga dengan kementeriannya bagi membeli tanah DBKL untuk 14 projek pembinaan rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
Antara kawasan terlibat ialah Taman Desa, Taman Metropolitan Kepong, Batu dan Bukit Jalil.
Sebanyak 15 projek dibagunkan di Taman Desa yang terletak di Jalan Kelang Lama dalam tempoh dua tahun, merangkumi pembangunan bercampur dan bangunan kondominium.
Menurut Yeh, salah satu projek yang mereka bantah melibatkan projek perumahan mampu milik yang dibina Aset Kayamas berdekatan Desa Water Park.
“Itu ialah tanah rekreasi dan mereka ubah jadi pembangunan bercampur, jadi mereka (DBKL) mesti kaji semula dan jadikannya lebih kundusif untuk alam sekitar.”

Projek pertama di Taman Desa kata Yeh ialah pada 2016 yang terletak di atas sebidang tanah persendirian.
“Kami tak dapat buat apa-apa melainkan membantah pembinaan kondominium 50 tingkat,” katanya.
“Bagaimanapun, projek itu ditangguhkan akibat keadaan pasaran. Tetapi ini tak bermakna perjuangan sudah tamat.
“Projek ini di atas sebidang tanah kecil untuk membina rumah teres dan banglo, tetapi ia diluluskan (oleh DBKL). Meluluskan tanah (yang diperuntukkan) untuk banglo tiga tingkat kepada kondominium 50 tingkat memang melampau.”
Timbalan Pengerusi Save Kuala Lumpur Coalition M Ali berkata Putrajaya perlu campur tangan dan menghentikan semua projek yang masih belum bermula.
“Ada 273 projek yang diketengahkan. Kalau projek-projek ini sudah bermula, tak ada apa yang boleh dilakukan.
“Kalau ada unsur penipuan atau implikasi jenayah, projek-projek tersebut mesti dihentikan,” kata Ali.
Pada 2015, penduduk Taman Metropolitan di Kepong berang apabila mendapat tahu rumah mampu milik dan komdominium akan dibina di atas sebuah taman.
Pengerusi Persatuan Penduduk Fortune Park, Chan Fatt Seong berkata walaupun mereka tidak terkejut apabila Ku Nan didakwa, mereka lebih bimbangkan projek-projek di kawasan perumahan mereka.
“Kami sangat kecewa mengenai urus niaga tanah tersebut dan beberapa kali buat aduan tetapi tiada tindakan diambil.
“Sebaik saja mereka letakkan papan tanda untuk pembangunan, kami pun mula membantah kerana taman itu perlu dikekalkan.
“Kami sewa bas dan pergi ke DBKL tapi mereka tak buat apa-apa. Malah kami buat beberapa laporan polis tetap langsung tiada tindakan.
Pewartaan bagi taman rekreasi Taman Metropolitan Kepong dibatalkan pada Jun 2015, untuk memberi laluan projek pembangunan bercampur.
Projek yang dicadangkan itu, melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri mampu milik (1,514 unit), empat blok pangsapuri (1,472 unit) dan 35 rumah kedai.
Chan masih menaruh harapan DBKL akan menghentikan projek terakhir di kawasan itu.
“Hampir 90% projek pembagunan pertama sudah selesai, manakala pembangunan kedua pada 30%.
“Sepatutnya ada pembanguna ketiga, adakah boleh dihentikan?
“Kami mahu nikmati udara segar, macam sebelum ada projek pembagunan. Saya tak yakin projek-projek itu akan dihentikan, tetapi kalau mereka (DBKL) boleh lakukan, maka kami akna berterima kasih pada mereka,” katanya. – 16 November, 2018.
Komen