DUA pemimpin kanan rejim Khmer Rouge di Kemboja bakal menerima keputusan pada Jumaat berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai, yang disifatkan pakar bakal mengakhiri masalah dihadapi tribunal pengadilan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bekas ketua negara Khmer Rouge, Khieu Samphan, 87, dan “Brother Number 2” Nuon Chea, 92, adalah dua individu paling kanan dalam kumpulan ultra-Maois yang menguasai Kemboja dari 1975-1979.
Pemerintahan kejam yang diketuai oleh “Brother Number 1” Pol Pot menyebabkan sekitar 2 juta penduduk Kemboja mati akibat kerja kuat, kebuluran dan hukuman mati.
Kedua defendan sebelum ini dijatuhkan hukuman seumur hidup pada 2014 bagi kekejaman dan pindahaan secara paksaan Phnom Penh pada April 1975.
Tetapi keputusan pada Jumaat di Kamar Luar Biasa di Mahkamah Kemboja (ECCC) akan memutuskan sama ada kedua-duanya bersalah menyelia pembunuhan beramai-ramai terhadap minoriti etnik Vietnam dan Champa Islam, serta sejumlah jenayah lain.
“Keputusan itu pada dasarnya adalah penghakiman Nuremberg untuk ECCC dan dengan itu sangat penting bagi Kemboja, keadilan jenayah antarabangsa, dan catatn sejarah,” kata David Scheffer, yang bertugas sebagai pakar khas setiausaha agung PBB mengenai perbicaraan Khmer Rouge dari 2012 sehingga bulan lepas.
Para revolusioner yang cuba mewujudkan semula majoriti Buddha Kemboja seiring dengan visi mereka berhubung masyarakat agraria cuba menghapuskan perbezaan kelas dan agama dengan kekerasan.
Kahwin paksa, rogol, layanan kepada para penganut Buddha, dan kekejaman yang dilakukan di penjara dan tapak kerja di seluruh negara termasuk dalam senarai tambahan tuduhan terhadap kedua bekas pemimpin itu.
Ia juga boleh “memberikan rasa penutupan kepada bab yang dahsyat dalam sejarah Kemboja”.
Kira-kira 800 orang, termasuk 200 orang Islam Champa, dijangka menghadiri sidang pada Jumaat, kata jurucakap ECCC, Neth Pheaktra.
Mahkamah hibrid, yang mengabungkan undang-undang Kemboja dan antarabangsa, diwujudkan dengan sokongan PBB pada 2006 untuk membicarakan pemimpin kanan Khmer Rouge.
Hanya tiga orang berjaya disabitkan oleh mahkamah, yang menelan kos lebih AS$300 juta.
Bekas menteri luar Khmer Rouge Ieng Sary dan isterinya meninggal tanpa keadilan, sementara “Brother Number 1” Pol Pot meninggal dunia pada 1998.
Bilangan pertuduhan terhadap Nuon Chea dan Khieu Samphan sangat besar sehingga memaksa mahkamah membahagikan perbicaraan menjadi satu siri pendengaran lebih kecil pada 2011.
Ramai percaya keputusan itu akan menjadi yang terakhir untuk tribunal, yang dicemari dakwaan gangguan politik.
Perdana Menteri Hun Sen - bekas kader Khmer Rouge - berkali-kali memberi amaran bahawa beliau tidak akan membenarkan lebih banyak penyiasatan diteruskan, berkata ia ancaman kepada kestabilan.
Mahkamah melancarkan siasatan terhadap empat lagi kader Khmer Rouge, walaupun seorang sudah dibuang pada Februari 2017, menegaskan kesukaran untuk membawa anggota peringkat rendah rejim kepada keadilan.
Scheffer berkata “cabaran terhadap kecekapan, pendanaan, dan akses kepada bukti” adalah isu yang dihadapi semua mahkamah jenayah antarabangsa, tetapi berpendapat kejayaan tribunal Kemboja tidak akan terjejas. – AFP, 16 November, 2018.
Komen