AS kaji permintaan Turki ekstradisi Gulen


AMERIKA Syarikat (AS) sedang mengkaji permintaan Turki untuk mengekstradisi pendakwah Fethullah Gulen, yang dituduh oleh Ankara mengatur percubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016, kata Jabatan Negara hari ini.

Tetapi jurucakap Heather Nauert menolak dakwaan dalam laporan NBC bahawa White House sedang mencari jalan untuk mengekstradisi Gulen - yang dilaporkan mempunyai Kad Hijau AS - dalam usaha untuk mengurangkan tekanan Turki terhadap Arab Saudi berhubung pembunuhan seorang wartawan.

“Kami menerima pelbagai permintaan daripada kerajaan Turki…berkaitan dengan Gulen,” kata Nauert.

“Kita terus menilai bahan yang dibentangkan kerajaan Turki untuk meminta ekstradisi,” katanya.

Tetapi Nauert menegaskan “tiada hubungan” antara isu ekstradisi Gulen dan tekanan Turki terhadap Arab Saudi berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di konsulat kerajaan di Istanbul.

White House ‘tidak terlibat dalam sebarang perbincangan berkaitan ekstradisi Fetullah Gulen, katanya.

NBC, memetik empat sumber tanpa nama, melaporkan pegawai pentadbiran Trump bertanya kepada agensi penguatkuasa undang-undang mengenai “cara mengikut undang-undang menyingkirkan” Gulen, 77, dari AS untuk memujuk presiden Turki “meringankan tekanan terhadap kerajaan Arab Saudi.”

Susulan kehilangannya pada 2 Oktober, pegawai Turki terus membocorkan butir-butir pembunuhan Khashoggi walaupun Arab Saudi menafikan penglibatannya.

Kerajaan akhirnya mengatakan pembunuhan itu adalah operasi “jahat” dan meminta hukuman mati terhadap lima orang yang dituduh terlibat, namun pendakwa raya negara itu membebaskan putera mahkota, Mohammed bin Salman daripada sebarang penglibatan.

Pegawai Turki bagaimanapun menuduh Putera Raja Mohammed mengatur rancangan pembunuhan wartawan yang mengkritiknya.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyalahkan Gulen - seorang ulama yang pernah dianggap sebagai sekutu - bagi plot rampasan kuasa pada 15 Julai 2016 yang menyaksikan 250 terbunuh, tidak termasuk pihak yang merancangnya.

Isu ini merupakan perkara utama dalam hubungan antara Turki dan AS, dengan Ankara menyuarakan ketidaksabaran terhadap kegagalan Washington menyerahkan Gulen. – AFP, 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen