Mahkamah Perancis benarkan Tariq Ramadan diikat jamin


Cendekiawan Islam terkemuka, Tariq Ramadan dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin sebanyak AS$340,000 dan menyerahkan pasportnya serta melapor diri kepada polis seminggu sekali. – Gambar AFP, 16 November, 2018.

SARJANA Islam, Tariq Ramadan yang ditahan sejak Februari atas tuduhan merogol dua wanita, berjaya memperoleh pembebasan bersyarat selepas memberi keterangan di mahkamah rayuan pada Khamis.

Keputusan mahkamah Paris menyebelahi Ramadan selepas ahli akademik Switzerland berusia 56 tahun, yang ditahan sejak 2 Februari, memberikan hujah yang kuat untuk dilepaskan.

Ikat jamin ditetapkan sebanyak 300,000 euro (AS$340,000) dan beliau perlu menyerahkan pasportnya dan melapor diri kepada polis sekali seminggu.

“Di manakah saya akan melarikan diri?” soalnya semasa sesi pendengaran, penampilan pertama beliau sejak penangkapannya.

Ramadan menafikan dakwaan beliau memperkosa wanita pada 2009 dan 2012. Seorang daripada penuduh adalah wanita kurang upaya yang dikenal dalam laporan media sebagai “Christelle” dan seorang lagi aktivis feminis, Henda Ayari.

Tetapi bulan lalu, Ramadan dipaksa membatalkan kenyataan tidak melakukan hubungan seksual dengan wanita selepas seorang pakar memperoleh 399 mesej teks antara beliau dan “Christelle”, yang sebahagiannya adalah fantasi seksual ganas yang terperinci. Ramadan kemudian berkata hubungan seksual itu adalah dasar suka sama suka.

Di mahkamah, Ramadan berkata beliau tidak berniat menjadi buruan dan berkata sklerosis berganda dialaminya menyebabkan beliau sukar berjalan selepas 10 bulan berada dalam tahanan.

“Saya akan kekal di Perancis dan mempertahankan kehormatan saya dan saya tidak bersalah,” kata pengulas TV terkenal itu kepada hakim yang merupakan usaha kali keempatnya untuk dibebaskan.

“Saya ingin anda membuat keputusan dari hati nurani anda, bukan kerana nama saya Tariq Ramadan dan saya dianiaya di negara ini,” katanya.

Beliau menggambarkan para penuduhnya sebagai ingin menarik perhatian media dalam kes demi kepentingan sendiri, bertanya: “Siapa yang mewujudkan idea pergerakan ‘Me Too’?

“Saya tidak pernah memperkosa. Saya bukan perogol. Memang benar saya membuat kesilapan,” katanya.

Tetapi peguam Ayari Francis Szpiner berkata kedua-dua “wanita sentiasa diancam.”

Ramadan, seorang bapa empat anak adalah cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin Mesir, juga merupakan seorang profesor di Universiti Oxford sehingga beliau terpaksa mengambil cuti ketika tuduhan rogol muncul pada pergerakan “Me Too” lewat tahun lepas. – AFP, 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen