LEBIH kurang 150,000 ahli PKR mengundi dalam pemilihan parti itu, daripada lebih 840,000 yang berdaftar dan layak memilih, kata Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali.
Angka itu bersamaan tidak lebih 20% ahli yang layak, jauh rendah berbanding unjuran Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang mensasarkan 40% ahli mengundi.
“Lebih 150,000 anggota Keadilan terlibat secara langsung dalam proses yang cukup demokratik memilih kepimpinan parti dalam tempoh yang akan datang,” kata Azmin kepada wartawan malam ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita 2018 di Shah Alam, malam ini.
JPP sebelum ini menyifatkan jumlah 20% ahli mengundi masih tinggi berbanding 12% saja yang memilih pada pemilihan penggal yang lalu pada 2014.
Penganalisis politik dan pemimpin parti sebelum ini memberi alasan angka rendah keluar mengundi itu disebabkan ahli parti sudah penat dengan politik, termasuk melalui empat pilihan raya kecil dalam tempoh lebih kurang 100 hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tiga daripada pilihan raya kecil itu ditandingi calon PKR mewakili Pakatan Harapan.
Sementara itu, Azmin berkata PKR sedia memperbaiki sistem undi elektronik atau e-undi yang dipakai dalam pemilihan kali ini, yang diakui ada kelemahan.
Beliau bagaimanapun meminta semua ahli keluarga besar PKR supaya menghargai usaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang bertungkus lumus mengendalikan pemilihan itu sejak 22 September lalu.

“Sebagai sebuah sistem baru sudah tentu ada kelemahan, namun saya ucapkan terima kasih pada JPP yang telah sedaya upaya melaksanakan tugas mereka dengan baik.
“Namun kita sedia terima pandangan daripada anggota untuk tambah baik sistem ini pada masa akan datang,” katanya, menjawab soalan media mengenai pelbagai kontroversi melibat sistem e-undi berkenaan.
Sistem e-undi itu dipertikaikan selepas timbul pelbagai dakwaan masalah teknikal melibatkan undi yang dibuat oleh ahli gagal dikesan dalam sistem sehingga menyebabkan keputusan di beberapa cabang digantung atau diadakan semula.
Pemilihan di cabang Kuala Selangor, Selangor tercemar apabila ada cubaan sabotaj dengan tindakan pihak yang tidak dikenali meletakkan alat penghalang isyarat telekomunikasi yang mengganggu kemudahan Internet.
Pemilihan di Cabang Julau, Sarawak – cabang yang kontroversi kerana pertambahan ahli hampir 13,000 orang – tercemar dengan dakwaan cubaan menggodam sistem e-undi.
JPP dan Biro Politik PKR kemudian mengesahkan pemilihan di Julau diterima sebagai sah. Dakwaan sabotaj itu bagaimanapun masih dalam siasatan pihak polis.
Keputusan di dua cabang di Sabah iaitu Pensiangan dan Tawau pula terlewat disahkan kerana undi daripada pengundian semula bercampur aduk dengan undi daripada pengundian asal seminggu sebelumnya.
Keputusan rasmi pemilihan PKR ini dijadual diumumkan oleh JPP pada hujung kongres Ahad ini. – 15 November, 2018.
Komen