TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali percaya pencabarnya Rafizi Ramli akan terus diberi peranan dalam parti, sekiranya keputusan pemilihan yang akan diumumkan petang Ahad ini tidak memihak kepada bekas ahli Parlimen Pandan itu.
Malah, Azmin juga berkata beliau sedia bekerjasama dengan Rafizi mengukuhkan parti, lebih-lebih lagi menyusun strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Saya percaya sahabat saya saudara Rafizi Ramli akan mempunyai peranan dalam parti. Dia telah mainkan peranan bertahun-tahun.
“Saya rasa saya boleh bekerjasama dengan Rafizi untuk mengukuhkan parti untuk persediaan pilihan raya akan datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita ke-13 di Shah Alam, malam ini.
Setakat ini, belum ada keputusan rasmi persaingan antara mereka untuk jawatan nombor dua parti itu. Sumber dalaman PKR bagaimanapun berkata Azmin mendahului Rafizi dengan majoriti lebih kurang 2,700 undi.
Azmin dalam pada itu turut menyeru semua anggota PKR agar bersatu selepas pemilihan demi mengukuhkan parti.

Beliau juga bersetuju dengan bakal Presiden Anwar Ibrahim yang menggesa tidak wujud lagi sebarang kem selepas pemilihan ini, sebaliknya semua pihak harus berpaksi hanya kepada parti.
“Saya bersetuju. Saya juga tegaskan dalam ucapan dasar tadi segala pemilihan yang berlaku ini adalah untuk memilih kepimpinan parti dan selesai pemilihan kita akan bergabung tenaga untuk memastikan PKR kuat di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim,” katanya.
Ditanya mengenai kem dalam PKR, Azmin menjawab: “Kem adalah, kem latihan untuk memperkukuhkan PKR menjelang PRU15.”
Azmin juga dalam sidang media sama menafikan pihaknya membuat pengumuman menang beliau menang jawatan timbalan presiden melalui Twitter.
Katanya, tulisan di Twitter itu telah disalah anggap.
“Di mana saya umum kemenangan? Di Twitter itu cuma ada pihak tersilap membuat laporan.
“Saya maafkan tetapi saya harap lain kali hati-hati buat laporan kerana saya tetap mematuhi prosedur dan peraturan parti,” tambahnya.
Keputusan pemilihan PKR dijadual diumumkan pada penghujung Kongres PKR di Shah Alam, pada petang Ahad.
Malam ini, ratusan perwakilan AMK dan Wanita mengenakan pakaian serba biru muda hadir pada perasmian Kongres Nasional 2018 peringkat sayap. – 15 November, 2018.
Komen