LIMA pegawai Arab Saudi berdepan hukuman mati susulan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi yang mati dibunuh dalam kedutaan negara itu di Istanbul, kata pendakwa raya.
Bagaimanapun pendakwa raya berkata Putera Raja Mohammed bin Salman tidak terlibat dalam kes itu.
Pengumuman itu dibuat selepas kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap kes pembunuhan Khashoggi, seorang kolumnis untuk Washington Post dan sering mengkritik pemerintah Saudi.
Kali terakhir Khashoggi dilihat adalah pada 2 Oktober di kedutaaan Arab Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen bagi perkahwinannya.
Khashoggi mati selepas diberikan dadah dan badannya dipotong kepada beberapa bahagian, kata jurucakap kepada pejabat pendakwa raya ketika mengulas bagaimana mangsa dibunuh.
Kata jurucakap itu, bahagian badan wartawan itu kemudiannya diserahkan kepada seorang ejen di luar kedutaaan.
Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Putera Mohammed mengetahui tentang pembunuhan tersebut.
Timbalan ketua perisikan Arab Saudi, Jeneral Ahmed al-Assiri memberi arahan untuk membawa pulang Khashoggi dan ketua pasukan rundingan yang diarah ke Istanbul bagaimanapun mengeluarkan arahan untuk membunuh wartawan itu.
Selepas beberapa kali menafikan pembunuhan itu, Arab Saudi akhirnya mengaku mengetahui pembunuhan Khashoggi berlaku di kedutaaan tersebut, tetapi menyalahkan kesilapan operasi perisikan.
Pihak pendakwa raya memohon agar hukuman mati dikenakan ke atas lima suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu manakala hukuman setimpal dikenakan ke atas beberapa individu lain.
Seramai 21 individu ditahan berhubung pembunuhan tersebut dan 11 daripadanya telah disabitkan kesalahan manakala bakinya masih disiasat. – AFP, 15 November, 2018.
Komen