Gabenor Nigeria tolak usul kenaikan gaji minimum


Usaha Presiden Muhammadu Buhari untuk mendapatkan sokongan bagi kenaikan gaji minimum tidak direstui gabenor-gabenor wilayah Nigeria. – Gambar fail EPA, 15 November, 2018.

GABENOR di seluruh wilayah Nigeria menolak perjanjian untuk menaikkan gaji minimum kepada AS$82 daripada AS$38 sebulan walaupun bantahan itu bakal mencetuskan mogok terbaharu dalam kalangan pekerja.

Pada awal bulan ini, satu mogok secara besar-besaran yang dirancang dibatalkan selepas pertemuan diadakan dengan wakil kesatuan, kerajaan dan pihak swasta bagi membincangkan isu kenaikan gaji.

Presiden Muhammadu Buhari berkata usaha itu akan dibentangkan pada Parlimen dalam tempoh terdekat.

Namun kesemua 36 gabenor di Nigeria menolak usul itu selepas mereka mengadakan pertemuan di Abuja.

Mereka menyifatkan kenaikan kadar gaji itu tidak praktikal melainkan kesatuan pekerja bersetuju mengurangkan jumlah tenaga kerja di seluruh negara atau kerajaan persekutuan sendiri bersetuju terhadap kajian semula formula peruntukan pendapatan negara.

Gabenor Abdulaziz Yari dari Zamfara yang mewakili rakan sejawatnya dari wilayah lain, berkata kebanyakan negeri berdepan kesukaran untuk membayar gaji walaupun mendapat bantuan kewangan dari kerajaan persekutuan.

“Kita membayar 18,000 naira (AS$38) sebelum ini dan apabila presiden memimpin kerajaan, kira-kira 27 negeri tidak mampu membayar gaji, bukan mereka tidak mahu membayar.

“Jadi jika gaji minimum dinaikkan, berapa negeri boleh membayar? Kita akan bankrap. Kerajaan perlu memandang serius perkara ini.” – AFP, 15 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen