SEORANG anggota baharu wanita Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) memainkan peranan penting menggagalkan kemungkinan berlaku serangan pengganas terbesar dalam sejarah negara itu.
Mahkamah Agung Australia pada petang Rabu menarik balik perintah sekatan berhubung perbicaraan Abdullah Chaarani, 27, Ahmed Mohamed, 25, dan Hamza Abbas, 23, yang didapati bersalah merancang satu serangan ganas ke atas beberapa mercu tanda ikonik di Melbourne.
Menurut agensi berita China Xinhua, tertuduh keempat yang juga ketua kumpulan itu, Ibrahim Abbas, telah mengaku bersalah atas semua pertuduhan pada Februari dan memberi keterangan terhadap adik lelakinya, Hamza, serta sepupu mereka, Abdullah.
Chaarani, Mohamed dan Abbas berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mendengar keterangan bahawa mereka telah membeli peledak bagi bahan letupan selain parang sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menyerang Daerah Pusat Perniagaan Melbourne (CBD) pada Disember 2016.
Mereka merancang menggunakan pisau, bahan letupan, kenderaan dan ves bunuh diri untuk menyerang kumpulan orang ramai yang berhimpun di bandar itu menjelang Krismas.
Ketua Pengarah ASIO, Duncan Lewis, turut memberikan butiran bagaimana perisik wanita itu, yang baru beberapa hari menganggotai agensi intipan terkemuka di Australia tersebut, telah menyedari bahawa kesemua lelaki “berkelakuan mencurigakan” menjelang perayaan Krismas pada 2016.
“Orang ramai mula berkumpul menjelang Krismas dan kami, hasil pemerhatian tajam anggota wanita muda ASIO itu, yang hanya bersama kami selama lima minit sebagai seorang daripada penganalisis agensi, telah menyedari bahawa sekumpulan pemuda berkelakuan mencurigakan dan menuju ke arah sebuah farmasi begitu lewat pada waktu malam,” katanya.
“Sebenarnya ketika itu, mereka memungut peledak bagi bahan letupan. Itu adalah petunjuk yang kami perlukan.”
Lewis membuat kenyataan itu ketika berucap kepada anggota tentera dalam persidangan Angkatan Tentera Darat di Adelaide pada September namun maklumat tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga selesai perbicaraan dan rayuan kes terbabit.
Keempat-empat lelaki yang dilahirkan di Australia, telah ditahan pada 22 Dis, dua hari selepas mereka menjalankan misi tinjauan di CBD, dan didakwa bersubahat untuk melakukan satu serangan pengganas.
Keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan turut mendedahkan bahawa mereka mendapat inspirasi daripada kumpulan militan Daesh. – Bernama, 15 November, 2018.
Komen