TUJUH individu ditahan pihak berkuasa China selepas didakwa melakukan pencemaran laut di wilayah Fujian, timur negara itu, ekoran berlaku tumpahan bahan kimia yang mengakibatkan 52 orang jatuh sakit.
Kejadian itu berlaku pada 4 November lalu apabila tiub yang digunakan untuk memindahkan bahan kimia jenis C9 dari dermaga ke sebuah lori tangki, mengalami kebocoran dan tertumpah ke dalam laut.
Bahan C9 kebiasaannya digunakan untuk membuat gam, dakwat pencetakan dan cat, dan merupakan kandungan toksik.
Tiga staf dari syarikat Fujian Donggang Petrochemical Company, yang mengendalikan dermaga itu dan empat krew lori tangki terbabit ditahan susulan kejadian itu.
Pihak berkuasa daerah Quangang berkata kira-kira 6,615 pukat di kawasan terlibat terpaksa dibersihkan susulan tumpahan bahan kimia itu.
Malah kira-kira 52 penduduk dilaporkan jatuh sakit selepas memakan ikan yang dibeli daripada nelayan, dipercayai tercemar akibat bahan C9 itu.
Setakat semalam, dua mangsa pencemaran itu masih dirawat di hospital. – AFP, 15 November, 2018.
Komen