ROSMAH Mansor, bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas pembantu bekas perdana menteri Najib Razak hari ini di dakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Rosmah dan Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, dituduh berasingan di mahkamah yang sama. Prosiding bagi kedua-duanya memakan masa tidak sampai setengah jam.
Rosmah yang mula-mula duduk di kandang saksi, dihadapkan dengan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen Seksyen 6(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima rasuah berkait projek solar untuk sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 juta.
Dalam pertuduhan pertama, beliau dituduh didakwa meminta RM187.5 juta dari pengarah urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd Saidi Abang Samsudin antara Mac dan April 2016.
Ia 15% daripada nilai kontrak, yang dikatakan sebagai sebagai balasan mendapatkan tender secara terus dari Kementerian Pendidikan bagi membina panel solar hibrid di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Dalam pertuduhan kedua, isteri Najib itu didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi pada 7 September 2017 sebagai balasan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar yang sama.
Jika didapati bersalah, Rosmah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan bagi setiap pertuduhan.
__full.jpg)
Kemudian, tiba giliran Ku Nan pula. Beliau didakwa menerima RM1 juta dari Tan Eng Boon mewakili Pekan Nenas Industries Sdn Bhd bagi pihak Nucleas Properties Sdn Bhd (kini Paragon City Development Sdn Bhd) yang mempunyai urusniaga rasmi dengan kementeriannya untuk menambah kepadatan plot tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur untuk tujuan pembangunan.
Beliau juga didakwa menerima RM2 juta menerusi cek Aset Kayamas Sdn Bhd dari Chai Kin Kong pada 14 Jun 2016, dengan maklum bahawa Aset Kayamas dan lima syarikat lain mempunyai urusniaga rasmi dengan kementeriannya bagi membeli tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina 14 projek rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
Bekas setiausaha agung Umno itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau denda bagi setiap kesalahan.
Ku Nan kelihatan letih, malah memohon kepada hakim untuk duduk ketika pertuduhan dibacakan. Bagaimanapun hakim tidak mengizinkan.

Sementara itu di mahkamah berasingan, bekas pembantu Najib, Rizal Mansor didakwa dengan empat pertuduhan rasuah berhubung projek solar di Sarawak, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Rizal dituduh meminta dan menerima suapan daripada Saidi sebanyak empat kali. Beliau dikatakan meminta RM187.5 juta dari Saidi untuk Rosmah sebagai balasan mendapat kontrak projek solar itu.
Beliau juga dituduh meminta RM25 juta untuk dirinya sendiri. Keduu-dua kesalahan tersebut didakwa berlaku antara Mac dan April 2016.
Selain itu, Rizal juga dituduh menerima RM5 juta sebagai habuan untuk Rosmah pada 20 Disember 2016 kerana membantu Jepa Holdings mendapatkan kontrak kerajaan itu, dan menerima RM500,000 sebagai habuan untuk dirinya pada 23 Disember 2016.
Jika sabit kesalahan, Rizal boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan bagi setiap kesalahan. – 15 November, 2018.
Komen