ROSMAH Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang ini untuk menghadapi pertuduhan berkaitan projek hibrid solar di Sarawak.
Ini adalah kali kedua Rosmah dihadapkan ke mahkamah selepas sebelumnya didakwa dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Rosmah tiba kira-kira jam 2.05 petang menaiki Proton Perdana berwarna hitam diiringi oleh suaminya, bekas perdana menteri, Najib Razak yang juga pernah didakwa atas kesalahan berkaitan urus niaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hanya 10 minit sebelum ketibaannya, bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tengku Adnan yang hadir memakai kemeja batik biru masuk ke pekarangan dengan kenderaan SPRM selepas ditahan semalam di ibu pejabat agensi anti rasuah di Putrajaya.
Tengku Adnan dijangka akan didakwa berhubung siasatan kes 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seluas lebih 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion.
Turut didakwa hari ini ialah bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor dan ahli perniagaan Tan Eng Boon.
SPRM berkata semalam, Rosmah dan Rizal akan menghadapi pertuduhan berhubung dengan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.
Sementara itu, Ku Nan dan Tan menghadapi pertuduhan berkaitan penjualan beberapa plot tanah DBKL.
The Malaysian Insight membawa anda liputan secara langsung prosiding hari ini:
2.59pm: Mahkamah ditangguhkan.
2.56pm: Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin serta memerintahkan pendaftar terus dibuka sehingga pembayaran selesai dibuat.
2.55pm: Tengku Adnan menuntut perbicaraan. Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin meminta jaminan sebanyak RM1 juta dan dibayar sepenuhnya hari ini.
2.54pm: Tengku Adnan tunduk melihat kertas pertuduhan yang ditunjukkan peguamnya ketika ia dibacakan oleh pendaftar mahkamah.
2.53pm: Tan bertanya sekiranya anak guam beliau dibenarkan duduk sambil pertuduhan dibacakan. Hakim melarangnya. Tengku Adnan berdiri.
2.52pm: Tengku Adnan memasuki kandang tertuduh. Beliau memakai baju batik biru dengan lengan digulung ke atas.
2.51pm: Hakim memanggil Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau diwakili oleh Tan Hock Chuan dan S.S Ruban.

2.51pm: Rosmah meninggalkan mahkamah.
2.50pm: Azman membenarkan jaminan dibayar secara ansuran - RM500,000 hari ini dan selebihnya dalam masa satu minggu.
2.48pm: Wang jaminan ditetapkan sebanyak RM1 juta oleh Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.
2.45pm: Rosmah menuntut dibicarakan.
2.42pm: Rosmah didakwa dengan dua pertuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar di Sarawak.
2.40pm: Pertuduhan dibacakan oleh pendaftar mahkamah.
2.35pm: Mahkamah bermula. Rosmah Mansor berada dalam kandang tertuduh. Beliau diwakili oleh K. Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent. – 15 November, 2018.
Komen