Kerajaan akan lalui proses rundingan berhubung ICERD


Asila Jalil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy berkata tiada had masa untuk proses rundingan ICERD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2018

KERAJAAN akan mengadakan proses rundingan bagi mendapatkan persetujuan berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum ia diratifikasikan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy berkata di Dewan Rakyat hari ini, proses rundingan itu diperlukan namun ia tidak mempunyai had masa. 

“Kerajaan akan mengambil langkah proaktif bagi suku pertama 2019 untuk mengadakan rundingan dalam mendapatkan pandangan perundangan sama ada dari dalam atau luar negara, serta pandangan intelektual dengan masyarakat umum,” katanya ketika sesi soal jawab menteri hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Azalina Othman Said (BN-Pangerang) yang bertanya apakah butiran akan diberikan kerajaan sekiranya mengecualikan dirinya daripada meratifikasikan ICERD.

Waythamoorthy sebelum ini berkata ICERD yang merupakan antara konvensyen antarabangsa akan diratifikasikan oleh Malaysia pada awal tahun depan.

Dalam Dewan Rakyat hari ini, beliau mengulangi bahawa Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan tidak akan dimansuhkan jika konvensyen itu diratifikasi.

Artikel itu menyentuh tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan menjaga kepentingan kaum lain.

Beliau juga sebelum ini memberi jaminan bahawa institusi seperti Mara dan agensi lain yang berkait dengan Bumiputera, tidak akan terjejas. – 15 November, 2018

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen