SABAH tiada hak untuk mengawal warga Indonesia dengan menyemak semula tempoh pekerja asing dari 10 tahun ke 15 tahun kata naib ketua Konsulat Indonesia Darmawan Purba.
Darmawan berkata pekerja Indonesia di luar negara perlu mematuhi polisi kewarganegaraan Indonesia, dan berkata mereka hanya dibenarkan bekerja lima tahun atau berdepan risiko hilang status kewarganegaraan.
“Malaysia tidak boleh mengawal warga Indonesia. Dengan peraturan sebegini warga Indonesia akan hilang kewarganegaraan,” katanya di pejabat konsulat Indonesia Kota Kinabalu hari ini.
Darmawan merujuk kepada semakan semula Skim Penggajian dan Penempatan Semula Sabah yang diumumkan Pengarah Imigresen Sabah Musa Sulaiman di mana pekerja asing boleh melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka maksimum 10 hingga 15 tahun, dengan pembaharuan setiap lima tahun.
“Saya bagi analogi, katakan kita berjiran dan anak saya pergi ke rumah anda untuk bermain. Selepas jam 6 petang, saya dapati mereka masih belum pulang. Jadi saya panggil anak saya, dan mereka cakap kamu benarkan mereka bermalam di rumah kamu.
“Ini anak saya, kamu tidak boleh mengawal anak saya. Jadi untuk warga Indonesia, ibu bapanya adalah Indonesia jadi mereka tertakluk kepada undang-undang Indonesia,” katanya.
Darmawan berkata kontrak maksimum adalah dua tahun, tambahan setahun atau dua tahun lanjutan dan semua nya adalah tiga tahun, tambahnya warga Indonesia yang bekerja di luar negara biasanya akan pulang pada tahun keempat.
Menurutnya, Sabah perlu memberikan status pemastauti tetap sekiranya mereka tetap mahukan lanjutan, dan menyatakan sejak 20 tahun lalu ramai warga Indonesia duduk melebihi tempoh dan berkahwin dengan warga tempatan dan memiliki anak.
Darmawan berkata, adalah satu kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sabah di mana pekerja asing tidak dibenarkan berkahwin ketika masih dalam kontrak, atau membawa isteri dan anak mereka ke Sabah.
Kesimpulannya katanya Skim Penggajian dan Penempatan Semula bukan penyelesaian kepada masalah pendatang tanpa izini di Sabah dan tiada beza dengan program 6P yang dilancarkan pada 2011. – 16 Ogos, 2017.
Komen