SEORANG menteri Jepun yang bertanggungjawab terhadap keselamatan siber menimbulkan kehairanan dengan mengakui beliau tidak pernah menggunakan komputer sepanjang kerjaya profesionalnya, dan dilihat keliru dengan konsep pemacu USB.
Yoshitaka Sakurada, 68, adalah timbalan ketua strategi keselamatan siber kerajaan dan juga menteri yang bertanggungjawab terhadap Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang akan menjadi tuan rumah pada 2020.
Beliau membuat pengakuan di Parlimen pada Rabu, tidak menggunakan komputer.
“Sejak berumur 25 tahun, saya mengarahkan pekerja dan setiausaha saya, jadi saya tidak menggunakan komputer sendiri,” katanya dalam maklum balas kepada soalan pembangkang di Parlimen, lapor media tempatan.
Beliau juga keliru dengan soalan ketika ditanya sama ada pemacu USB digunakan di kemudahan nuklear Jepun.
Komennya disambut rasa tidak percaya oleh penggubal undang-undang pembangkang.
“Tidak boleh dipercayai seseorang yang tidak pernah menyentuh komputer bertanggungjawab terhadap dasar keselamatan siber,” kata Ahli Parlimen Masato Imai.
Dan komennya turut menerima serangan dalam talian.
“Tidakkah dia berasa malu?” tulis satu pengguna Twitter.
“Hari ini, mana-mana presiden syarikat menggunakan PC. Malah dia tidak tahu apa itu USB.”
Pengguna lain pula menyindir yang mungkin Sakurada hanya terlibat dalam keselamatan sibernya sendiri.
“Sekiranya seorang penggodam mensasarkan Menteri Sakurada, mereka tidak akan dapat mencuri sebarang maklumat. Mungkin ia adalah sejenis keselamatan terhebat!”
Sakurada berkhidmat lebih sebulan selepas dilantik dalam rombakan Kabinet berikutan pemilihan Perdana Menteri Shinzo Abe sebagai ketua parti politiknya.
Tetapi beliau sebelum ini sudah dikecam kerana hal lain di Parlimen termasuk mencampurkan nama ahli Parlimen pembangkang dan berulang kali menyatakan “Saya tidak tahu butiran” ketika ditanya mengenai kenyataan ringkas beliau mengenai Olimpik. – AFP, 15 November, 2018.
Komen