Pemimpin Gerakan gesa ahli parti kembali bersatu


Andrew Chin

Naib presiden Gerakan Dominic Lau berdepan ketua pemudanya Andy Yong bagi merebut jawatan presiden pada pemilihan parti itu 17 November ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2018

PEMIMPIN Gerakan Dominic Lau masih belum menutup pintu untuk kerjasama dengan mana-mana pihak pada masa hadapan, termasuk Barisan Nasional yang dijenama semula, tetapi buat masa ini, tumpuan beliau hanya untuk menyatukan parti.

Lau yang juga naib presiden parti itu berkata, parti tidak boleh lari daripada realiti politik dan dalam masa yang sama perlu bekerjasama dengan parti lain dalam lanskap politik masa kini.

Namun, itu adalah untuk selepas ini, buat masa sekarang Lau menyatakan mesej ringkas kepada rakan dalam partinya: “mari kita bersatu”.

“Jika Gerakan mahu bangkit semula, semua ahli perlu bersatu padu, semua ahli perlu berada dalam pandangan yang sama. Itu sebabnya saya merasakan apa yang penting sekarang adalah untuk bersatu dan memperkukuhkan parti. Selepas itu baru kita boleh melihat kepada pilihan untuk mencari sekutu,” kata Lau kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi juga penting bahawa parti yang kita pilih untuk menyelaraskan diri kita mesti mempunyai prinsip yang serasi.”

Lau akan berdepan dengan timbalan ketua pemuda Andy Yong bagi merebut jawatan presiden pada pemilihan parti yang akan berlangsung 17 November ini.

Dua bulan selepas Pilihan Raya Umum ke 14, Gerakan mengumumkan untuk meninggalkan pakatan BN yang mana ia merupakan antara parti pengasasnya pada 1974.

Gerakan bertanding pada 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri pada PRU14 namun tidak memenangi sebarang kerusi.

Sekiranya berjaya mendapat jawatan presiden, Lau berkata parti akan terus berusaha ke hadapan untuk kembalikan pemilihan ajli majlsi tempatan, dan memberi undian ketiga kembali kepada rakyat.

“Kai akan terus cuba kembalikan pilihna raya tempatan dan membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakyat dengan mengadakan forum, untuk mempersiapkan mereka bagi pengundian itu,” kata Lau.

Beliau menyatakan, dengan Gerakan tidak lagi bersama BN, ia kini boleh memperjuangkan dasar yang dirasakan memberi faedah kepada rakyat.

“Sebagai parti bebas, Gerakan bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan disemak tetapi perbezaan antara Gerakan dan parti lain adalah kita turut memberikan penyelesaian,” kata Lau.

Bekas calon kerusi Parlimen Batu itu juga mahu menarik golongan belia dan memperkenalkan dasar yang menarik minat mereka.

Katanya, dengan kerajaan cuba untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, golongan belia mampu membuktikan mereka bernilai kepada masa depan parti.

“Menjadi sebuah organisasi politik, Gerakan perlu menggalakkan lebih ramai belia untuk turut serta dalam proses politik. Kami akan gunakan pelbagai platform media untuk mendidik belia dari segi politik,” tambah Lau. – 15 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen