MENTERI Pertahanan Israel Avigdor Lieberman mengumumkan peletakan jawatannya pada Rabu dan menggesa pilihan raya awal selepas pertikaian berhubung perjanjian gencatan senjata Gaza, sekaligus mencetuskan kekecohan dalam kerajaan.
Lieberman juga berkata partinya turut keluar daripada pakatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, meninggalkan pemimpin itu hanya satu kerusi majoriti di parlimen.
Pilihan raya akan diadakan tidak lebih November 2019, namun peletakan jawtaan Lieberman itu meningkatkan kemungkinan pilihan raya awal.
“Apa yang berlaku semalam gencatan senjata yang digabungkan prosesnya dengan Hamas adalah menyerah kepada keganasan,” kata Lieberman kepada wartawan menjelaskan alasannya untuk meletakkan jawatan.
“Apa yang kita lakukan sekarang sebagai negara adalah sedang berdiam diri dalam jangka pendek, dengan perlu membayar harga kerosakan jangka panjang kepada keselamatan negara.”
Tambahnya: “Kita perlu bersetuju dengan tarikh pilihan raya diadakan seawal mungkin.”
Netanyahu mempertahankan perjanjian gencatan senjata yang menamatkan pertikaian antara tentera Israel dan Palestin di Gaza sejak peperangan 2014.
Pegawai dari parti Likud Netanyahu membidas spekulasi yang pilihan raya awal akan diadakan dan berkata perdana menteri akan mengambil tugas Lieberman buat sementara waktu.
“Tiada kewajipan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh keselamatan yang sensitif,” kata seorang pegawai yang enggan identitinya didedahkan.
Jurucakap Likud kemudian berkata Netanyahu mula mengadakan rrundingan dengan ketua parti dalam pakatannya untuk menstabilkan kedudukan dan ia dijangka akan diteruskan hingga Khamis.
Namun beliau dalam satu kenyataan berkata Lieberman masih belum menghantar surat peletakan jawatannya.
Menteri Pendidikan Naftali Bennet, yang merupakan pesaing Netanyahu, mengancam untuk menarik diri daripada pakatan itu sekiranya tidak diberikan portfolio pertahanan.– AFP, 15 November, 2018
Komen