PERJUANGAN kita adalah perjuangan emosional dan sloganistik, kata Wahid, pemuda yang berani berfikir. Wahid percaya Quran dan Sunnah sumber kebenaran. Akal cuma alat untuk faham kebenaran, bukan sumber kebenaran. Golongan Muslim lemah kerana menolak akal.
Bagi Wahid, walaupun mengaku Islam, belum tentu fikiran kita seiring dengan Islam. Sebab apa? Kerana tiada falsafah Islam. Justeru, kita hanya menjadi muslim emosional – tanpa faham falsafah tauhid.
Manusia pada hari ini hanya tumpu pada ibadat khusus sahaja. Antara dia dan Tuhan. Barangkali dia fikirkan menangis di tikar sejadah hari-hari, Tuhan sayangkan dia. Begitu juga hari-hari membaca Quran, setiap huruf Arab makin baca, makin banyak pahala. Mudah masuk syurga. Semudah mengungkapkan lafaz syahadah.
“Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku bersaksi Muhammad itu pesuruh Allah.”
Sebenarnya dia lupa bahawa menjadi muslim bukan sekadar faham syahadah pertama. Bukan dia dan Tuhan sahaja tetapi dia dan manusia. Maka tidak pelik kenapa kita berasa lebih mulia dengan menampilkan imej beragama.
Terlalu menjaga “agama” kadang-kadang mudah sensitif dan emosi. Dia marah kalau agama dia dikritik. Tidak sepantas marah jika kemanusiaan dirobek. Sikap yang lebih-lebih dalam beragama, sehingga lupa pesan tauhid teragung – menyempurnakan kemanusiaan.
Bukankah Tuhan tidak suka orang melampau batas?
Nabi juga mengajar kita bersikap sederhana. Menyantuni kemanusiaan lebih tinggi darjatnya berbanding munajat sepanjang malam. Nabi berpesan supaya kita tidak meminggirkan nilai kemanusiaan. Setiap muslim itu bersaudara; cubit paha kanan, paha kiri terasa.
Tugas nabi adalah menyempurnakan pesan tauhid kedua. Nabi sebagai peringatan kepada semua manusia supaya tidak melupakan pesan kemanusiaan yang mudah terlupakan.
Misalnya lafaz tauhid – “aku bersaksi Muhammad adalah utusan Allah”, ternyata sebuah pesan kemanusiaan agung — betapa peri pentingnya kemanusiaan sehingga tertulis di sebalik lafaz tauhid.
Sayang sekali, syahadah kedua ini tidak dihayati.
Melafazkan syahadah bukan bererti kita sudah bertauhid. Hakikatnya tauhid lebih penting dari akidah. Semua orang boleh mengucapkan kalimah tauhid dan mengaku berakidah. Bangsa Arab yang hari-hari solat di hadapan Kaabah sekalipun, tidak peduli apabila hari-hari bom diluncurkan di Yaman. Peduli apa saudara Muslim di sana, asalkan aku masih boleh bersolat dan bermunajat dengan-Nya. Bukankah solat di kota suci itu pahala berganda?
Sedangkan, Tuhan tidak suka hamba-Nya yang kuat memuji-Nya, tetapi meninggalkan pesan kemanusiaan, apatah lagi merelakan kezaliman, penindasan dan ketidakadilan.
Wahid teringat bendera Saudi. Jelas terpampang kalimah tauhid, “Tiada Tuhan Selain Allah, dan Muhammad adalah utusan Allah”. Ironinya, simbol itulah yang menjahanamkan kemanusiaan. Hari ini, bendera itu umpama lampu hijau untuk mengorbankan nilai kemanusiaan – melaungkan tauhid tetapi tidak faham, jauh sekali melaksanakan falsafah tauhid.
Sial punya Arab, mereka tidak sembah Tuhan ke? Kemarahan Wahid melintas di benak fikirannya. Apakah penjaga kota suci itu tidak percaya kepada Tuhan?
Sebagai Melayu, hati lembut Wahid mengatakan, itu mustahil! Mereka adalah kiblat umat Islam. Masakan tidak, setiap tahun, Mekah jadi tumpuan kaum muslimin. Mereka – bangsa Arab – keturunan nabi, kaum yang dimuliakan, pastilah lebih dekat dengan Islam. Mereka sepatutnya lebih tahu.
Sebagai anak muda kritis, pemikiran Wahid tidak terpempan di situ. Dia tahu bahawa Arab juga ada yang berasal dari keturunan Abu Jahal.
ISIS juga mengibar panji kalimah tauhid tapi mereka memenggal kepala tawanan semata-mata kerana tidak mentauhidkan Allah. Semua yang berbaik dengan bukan muslim juga dianggap kuffar dan mesti dibunuh. Itukah Islam? Apakah ISIS tidak baca sejarah Islam?
Wahid menggeleng-gelengkan kepala.
Punya akidah, tapi tidak bertauhid!
Inilah pemikiran yang dilawan Nabi Muhammad suatu masa dahulu, keluh Wahid. Tuhan mengutuskan Nabi Muhammad untuk menyebar perdamaian dan sikap terpuji. Tidak ada dalam sejarah Islam, nabi memenggal kepala orang dan merosakkan rumah-rumah ibadat penganut agama lain. Apatah lagi bermudah-mudah membunuh manusia.
Apakah ISIS hanya beriman slogan Tiada Tuhan selain Allah, sedangkan sikap mereka bertentangan lafaz tauhid kedua – bahawa Muhammad itu utusan Allah. Bukankah nabi diutus untuk menyempurnakan akhlak terpuji?
“Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dalam Al Adaab Al Mufraad)
Barangkali kita, atau Wahid pening memikirkan hal-hal paradoks berkaitan sikap beragama. Orang kita cepat marah dan melatah-lenting jika Tuhan “dikacau” – dianggap menghina Islam. Ironinya, mereka merelakan berleluasanya ketidakadilan, penindasan dan ketidakmanusiaan, bahkan memandang murah nyawa manusia.
Sebenarnya, masyarakat Arab pra-kerasulan Muhammad lebih lama mengenal Allah. Buktinya bapa baginda bernama Abdullah. Mereka sudah lama kenal kalimah Allah. Malah lebih awal menganut ajaran Nabi Ibrahim dan Ismail yang monoteisme. Mereka meyakini keberadaan tuhan dan mengenal tuhan sebagai sembahan tertinggi.
Masyarakat Arab sudah mengakui keesaan Allah tetapi secara praktiknya gagal memahami pesan tauhid. Masyarakat Arab tidak terkejut dalam soal kepercayaan. Justeru, apakah yang mengundang resah masyarakat Arab ketika kehadiran Muhammad sebagai utusan Allah?
Lafaz pertama kalimah tauhid “tidak ada Tuhan selain Allah” tidak menimbulkan kegemparan. Itu bukan perkara baharu. Yang membuat mereka sentap apabila Rasulullah mengakui sebagai utusan Tuhan.
Rasulullah mengutuk sikap eksploitasi, penindasan ke atas golongan lemah dan tidak diberi perlindungan. Baginda bercakap bahasa kemanusiaan, menentang penindasan orang atasan terhadap orang lemah.
Baginda menganggap dirinya pembawa pesan peringatan kepada kaumnya untuk bersikap kemanusiaan. Kaum Quraisy sedar Rasulullah bakal mengugat kestabilan ekonomi mereka. Manusia akan berpaling arah kepada Nabi Muhammad kerana baginda utusan Allah. Budaya kerja dan tradisi korup Quraisy pasti terancam. Sekaligus mereka berdepan risiko kehilangan Mekah yang jadi tumpuan penyembahan berhala dari seluruh kelompok Arab.
Pesan Rasulullah lagi, jangan sekadar menyembah ‘dewa’ tetapi mengabaikan pesan kemanusiaan. Baginda bukan membawa agama baru. Sebaliknya, baginda mengajak kepada reformasi sosial. Dakwah di Mekah tertumpu kepada ajaran nilai, kemanusiaan dan akhlak. Jadi, mereka menentang nabi kerana mencabar keturunan kaum, dan mengubah landskap politik Arab.
Sikap nabi menggegarkan tradisi mereka – melonggok kekayaan melalui amalan fanatisme, penindasan, menumpahkan darah dan mengeksploitasi kaum lemah seperti anak yatim dan kaum perempuan. Inilah respons Quran pada peringkat di Mekah, kerana nabi mengajarkan kemanusiaan dan kedamaian.
Sudah tentu pembesar Arab bimbang jika dakwah nabi mengundang manusia berpaling arah. Selama ini Kaabah jadi tempat utama iaitu pusat keagamaan perdagangan.
Rasulullah mengajar kita di sebalik kalimah tauhid adalah melawan segala kezaliman, korupsi sosial, ketidakadilan, dan penindasan korban kemanusiaan pada hari ini.
Jadinya, apakah lafaz syahadah pada abad ini? Yang menjulang martabat kemanusiaan dan keesaan-Nya sekaligus – dibaca bersama, tanpa mengorban salah satu daripadanya.
Sedarlah Wahid, sedar betapa akidah muslim tidak sempurna jika sekadar percaya tiada Tuhan selain Allah kecuali manusia yang mementingkan diri sendiri.
Lalu, dengan tenang tapi pasti, Wahid bersyahadah.
“Aku bersaksi Muhammad itu pesuruh Allah, dan aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah”. – 15 November, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
Komen