CEO Cradle Fund terima ancaman 3 bulan sebelum dibunuh


Alfian Z.M. Tahir

KETUA Pengarah Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan menerima ancaman maut tiga bulan sebelum beliau dibunuh, kata sumber, sambil menambah ancaman itu kemudiannya didapati dibuat saudara terdekatnya.

Ancaman itu datang dalam bentuk panggilan telefon tidak bernama yang diambil serius Nazrin. Beliau juga membuat laporan polis ekoran ancaman yang diterima beliau.

Polis kemudian mengesan panggilan itu dilakukan saudara terdekat dan apabila dimaklumkan kepada Nazrin, beliau menarik balik laporan tersebut, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Dalam siasatan kes pembunuhan itu setakat ini, polis telah menahan isteri Nazrin, Samirah Muzzafar, bekas suaminya dan dua anak lelaki remajanya. Turut ditahan adalah adik Samirah dan suaminya.

Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin.

Polis kini menunggu hasil siasatan bedah siasat kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Sumber polis mengatakan ahli patologi masih menganalisa penemuan daripada autopsi kedua.

Bedah siasat kedua itu dijalankan selepas keluarga Nazrin membuat laporan polis mendakwa bahawa bedah siasat pertama mempunyai kecacatan.

Nazrin ditemui mati di bilik tidurnya di rumahnya di Mutiara Damansara selepas rumah teres dua tingkat itu terbakar pada 14 Jun sehari sebelum Hari Raya.

Keluarganya berkata bahawa telefon bimbit Nazrin meletup ketika dicaj, menyebabkan api dari letupan itu merebak. Cradle Fund juga mengeluarkan kenyataan yang mengatakan CEOnya mati akibat kecederaan yang disebabkan oleh telefon bimbit yang diletupkan di sebelah katil.

Polis baru-baru ini berkata bahawa mereka juga sedang mencari seorang pembantu rumah Indonesia yang bekerja di rumah Nazrin.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight bahawa penyiasat hanya mengetahui tentang kewujudan pembantu rumah itu selepas mereka menahan beberapa anggota keluarga Nazrin.

“Pada titik awal penyiasatan kami telah meminta kepada keluarga jika mereka mempunyai pembantu rumah. Mereka menafikannya,” kata sumber polis.

Sumber itu berkata, pihak polis sedang mencari pembantu rumah itu, yang dipercayai berada di Malaysia secara tidak sah kerana Jabatan Imigresen tidak mempunyai butiran kemasukan atau keluarnya.– 15 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen