Umno Selangor tidak terjejas walaupun dituduh dalam kekecohan


Diyana Ibrahim Melati A. Jalil

UMNO Selangor tidak terjejas sedikit pun dengan insiden huru-hara semasa forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam pada Ahad lalu sebaliknya menganggap ia “rahmat” untuk Barisan Nasional merampas semula negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang, kata pemimpin Umno negeri itu.

Ketua Penerangan Umno Selangor Zein Isma Ismail berkata biarpun Umno negeri dituduh ada kaitan dengan kekecohan itu, ia sebaliknya melihat apa yang berlaku membuka mata rakyat tentang sikap sebenar pembangkang.

“Tidak ada kesan pun, Umno Selangor langsung tidak rasa kejadian begini memberi kesan menjejaskan peluang kemenangan Barisan Nasional di Selangor masa pilihan raya nanti, malah ia perkara positif sebab mewujudkan peluang kepada kita.

“Dan rakyat pun boleh melihat mereka banyak ditipu selama ini oleh pembangkang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menolak tanggapan insiden boleh jadi faktor BN kalah sekali lagi di Selangor. Katanya, ada banyak faktor yang boleh menyumbang kepada kemenangan BN terutamanya kegagalan pentadbiran PKR yang terpalit dengan pelbagai isu dan dasar yang membebankan rakyat.

“Terlalu banyak isu, carca merba jadinya. Ada isu perumahan, denggi, cukai taksiran, premium tanah yang tinggi. Ini semua membebankan rakyat dan meningkatkan kos kehidupan rakyat,” katanya yang juga ketua Umno Bahagian Subang.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Shah Alam Azhari Shaari berkata rakyat sudah mula bosan dengan alasan sama yang digunakan oleh pembangkang.

“Itu biasalah, selalunya kesalahan memang akan diletakkan pada Umno. Tapi katalah apa yang nak dikata pun. Dia (pembangkang) tak boleh nak tuduh kita, kata kita yang cetuskan huru-hara ini,” katanya mengulas mengenai insiden pada Ahad lalu.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos berkata kekecohan semasa forum itu menunjukkan ramai penyokong pembangkang kini beralih sokongan kepada BN kerana tidak setuju Dr Mahathir Mohamad jadi pemimpin pembangkang.

“Kami yakin ini cukup baik untuk Umno Selangor kerana mereka ini (yang hadir semasa forum) merupakan penyokong kuat Anwar semasa dia dipecat dan apabila pemimpin atasan mereka menerima Dr Mahathir mereka tidak berpuas hati dan kembali kepada pangkuan BN,” katanya.

Jamal yang sebelum ini mengepalai kumpulan Baju Merah menentang penganjuran Bersih 5 menafikan beliau mendukung keganasan dan tidak terlibat dengan kekecohan itu.

“Sebenarnya kami tak ganas. Kami ini orang baik, cukup waktu selalu pergi masjid sembahyang Maghrib berjemaah dan kita didik anak-anak muda kita.”  – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen