KERAJAAN Sabah bersedia mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan menguruskan bekalan elektrik negeri, kata Mohd Shafie Apdal hari ini.
Ketua Menteri dan Menteri Kewangan negeri itu berkata pentadbirannya sedang meneliti rancangan itu, dan akan membuat keputusan selepas kajian mengenainya dijalankan.
“Kerajaan negeri bersedia memainkan peranan yang lebih besar dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan kritikal, seperti bekalan elektrik dan air.
“Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih SESB. Ini bergantung pada hasil kajian mengenai langkah itu,” katanya ketika menggulung ucapan belanjawan Kementerian Kewangan negeri di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Tenaga Nasional Bhd memiliki 82.75% daripada SESB, dan selebihnya dimiliki kerajaan negeri.
SESB sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Elektrik Sabah, yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri sehingga diswastakan pada 1 September 1998.
Walaupun diswastakan, kekurangan bekalan kuasa kekal menjadi salah satu masalah terbesar di Sabah. Banyak parti politik meminta kerajaan negeri merampas semula SESB dari kawalan persekutuan.
Putrajaya sedang merancang untuk membina loji janakuasa arang batu bagi menyelesaikan masalah elektrik negeri, namun cadangan itu dibantah keras kumpulan alam sekitar Sabah.
Shafie menambah bahawa Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri akan mengkaji semua konsesi air.
Menterinya, Peter Anthony, sebelum ini mengatakan kementerian mengkaji semula tawaran yang diluluskan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, yang melibatkan enam syarikat. – 14 November, 2018.
Komen