Peguam Negara mesti miliki bukti kukuh untuk dakwa Ku Nan, kata Khalid


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengatakan pertuduhan yang dijalankan ke atas Ku Nan itu mempunyai asas pendakwaan yang kukuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim , 14 November, 2018.

PEGUAM Negara mesti mempunyai kes yang kuat untuk membawa Tengku Adnan Tengku Mansor ke mahkamah atas dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, kata Khalid Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata bahawa jika mereka mendakwa Tengku Adnan ia yang bermaksud mereka mempunyai bukti yang kukuh.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mestilah mempunyai bukti yang berkredibiliti untuk (mengambil tindakan) dan berdasarkan bukti itu mereka telah mengemukakan penemuan mereka kepada Jabatan Peguam Negara.

“Dan sekarang AG telah memeriksanya dan meminta mereka untuk memfailkan pertuduhan,” katanya selepas menghadiri program The Lost Food di PPR Kerinchi hari ini.

Tengku Adnan, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, ditahan hari ini selepas beliau dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau ditahan semalaman dan akan dibawa ke mahkamah esok. 

Bulan lalu, Tengku Adnan berkata SPRM memanggilnya 12 kali untuk memberi keterangan mengenai urus niaga tanah DBKL di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Lebih 600 orang dari PPR Kerinchi diberi makanan yang disediakan oleh TLFP, sebuah NGO yang menyediakan barang makanan asas kepada mereka yang memerlukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim , 14 November, 2018.

Sementara itu, lebih 600 orang dari PPR Kerinchi diberi makanan yang disediakan oleh TLFP.

TLFP adalah persatuan kebajikan berdaftar di Kuala Lumpur. Ia diasaskan pada tahun 2015 oleh warga kota yang ingin membuat perubahan terhadap kehidupan rakyat Malaysia dan alam sekitar.

TLFP memberi tumpuan kepada logistik: ia mengumpul lebihan makanan dari pasaran borong, pasar raya, pengeluar dan pembekal dan menyalurkannya kepada yang memerlukan. – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen