ALGERIAN pada Selasa berkata pengawal sempadannya berjaya menghalang kira-kira 40,000 pendatang tanpa izin berpotensi daripada sampai ke Eropah sebagai sebahagian usaha negara Afrika Utara itu dalam mencegah penghijrahan haram.
Pengarah yang bertanggungjawab dalam isu penghijrahan di Kementerian Dalam Negeri, Hassan Kacimi, telah dipetik sebagai berkata oleh radio Algeria Channel I, “majoriti orang yang cuba memasuki Algeria secara haram dari bahagian selatan sempadan berasal dari 23 negara Afrika yang terletak di wilayah Barat, Sahel dan Tengah.”
Beliau berkata matlamat kebanyakan pendatang tanpa izin terbabit ialah untuk sampai ke pesisir negara Eropah dan menyedari perkara ini, Algeria kini berusaha sedaya upaya bagi menghalang mereka.
Dalam hal ini, Kacimi berkata Algeria telah menyerahkan kira-kira 10,000 pendatang tanpa izin kepada Niger pada tahun ini sahaja.
Beliau berkata sejumlah besar pendatang tanpa izin yang dihantar pulang sebelum ini kembali ke Algeria lebih daripada sekali, dan mereka telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
Pegawai itu menegaskan bahawa “kerajaan Algeria telah menetapkan cabaran ini untuk memerangi penghijrahan haram sebagai satu keutamaan,” sambil menambah bahawa “kira-kira US$5 juta telah diperuntuk pada 2018 bagi tujuan ini.” – Bernama, 14 November, 2018.
Komen