KABINET tetap akan memansuhkan hukuman mati, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong.
“Saya bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri (Dr Dr Wan Azizah Wan Ismail) hari ini, dan katanya keputusan Kabinet ini ialah keputusan bersama. Ia tanggungjawab bersama, iaitu semua menteri perlu menerima keputusan itu.
“Keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 10 Oktober kekal,” katanya ketika diminta mengenai permintaan Dr Wan Azizah yang mahu kerajaan mengkaji semula keputusan memansuh hukuman mati berikutan kematian seorang bayi berusia sembilan bulan di Selangor baru-baru ini.
Putrajaya akan meneliti semula butiran pindaan itu, namun pemansuhan hukuman mati akan diteruskan.
Berhubung kes bayi berusia sembilan bulan yang dicabul dan dibunuh, Liew berkata ia masih dalam siasatan.
“Tetapi, kami pasti yang semua orang yang membunuh akan dipenjarakan sekurang-kurangnya selama 30 tahun, atau seumur hidup. Mereka tidak akan berpeluang untuk bebas,” beliau memberitahu pemberita selepas sesi townhall mengenai pemansuhan hukuman mati bersama pelajar jurusan undang-undang UiTM Shah Alam.
Beliau juga berkata tidak pasti jika pindaan itu boleh dilakukan semasa persidangan Parlimen yang akan berakhir pada 6 Disember.
“Kami sudah edarkan memorandum ke pelbagai jabatan dan agensi, dan kami menunggu maklum balas dari mereka.
“Jika siap dalam masa dua minggu akan datang, kami boleh bentangkan beberapa pindaan di Dewan Rakyat sebelum Dewan Negara bersidang.” – 14 November, 2018.
Komen