KETUA Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata beliau akan menunggu perintah mahkamah berhubung tindakan Menteri Besar Selangor Azmin Ali memfailkan semakan kehakiman terhadapnya bagi mendesak penahanan ahli kewangan Malaysia, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Tak apalah, kita tunggulah apa juga perintah mahkamah nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu.
Pada Isnin, Azmin melalui peguamnya memfailkan semakan kehakiman mendesak ketua polis negara mengambil langkah sewajarnya untuk mengesan dan membawa Low berdepan pertuduhan jenayah.
“Tindakan ini untuk memaksa ketua polis negara menjalankan tugas dan tanggungjawabnya yang dinyatakan dalam akta polis. Beliau perlu menyiasat suspek itu yang melakukan kesalahan,” kata Azmin.
Minggu lalu, Khalid berkata Azmin boleh teruskan jika mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, kerana beliau tidak mahu tunduk dengan tekanan untuk menahan Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Azmin menghantar notis tuntutan dua minggu lalu meminta Khalid menahan Low yang disifatkan sebagai konspirator utama dalam skandal 1MDB. – 1 Ogos, 2017.
Komen