Pelajar berarak bantah pelan bayaran balik PTPTN


Ravin Palanisamy

Diketuai oleh Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) Muhammad Faizuddin Mohd. Zai, 25, kumpulan pelajar berkenaan berjalan kaki sejauh 8km untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Ravin Palanisamy, 14 November, 2018.

SEKUMPULAN pelajar hari ini berarak darai Universiti Malaya ke Parlimen sebagai bantahan kepada kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menunaikan janji manifestonya berhubung bayaran balik pinjama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) mereka.

Sekitar 15 pelajar dari pelbagai universiti kecewa dengan pengumuman kerajaan bahawa peminjam yang berpendapatan RM1,000 perlu membayar balik pinjaman PTPTN mereka.

Diketuai oleh Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) Muhammad Faizuddin Mohd. Zai, 25, kumpulan pelajar berkenaan berjalan kaki sejauh 8km untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

“Kami mahu berbincang mengenai dasar PTPTN yang abru-baru ini diperkenalkan dan mahu mereka (Kementerian Pendidikan) mengubahnya semula,” Muhammad Faizuddin memberitahu The Malaysian Insight.

Manifesto pilihan raya PH menyatakan hanya peminjam yang memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 perlu membayar semula pinjaman mereka. Bagaimanapun, ketika membentangkan Belanjawan 2019 baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan skim pembayaran semula pinjaman bagi peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

“Dengan gaji sebanyak RM1,000, pelajar sendiri sudah terbeban dengan komitmen lain dan kalau kami dikehendaki bayar pinjaman PTPTN, kami akan termasuk dalam golongan miskin di Malaysia,” kata pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Faizuddin berkata mereka bersedia untuk mula menerima pinjaman apabila gaji siswazah mencecah RM4,000 sebulan.

“Kalau mereka mahu kami bayar apabila kami bergaji RM4,000, tak apa, kerana kami faham keadaan ekonomi negara sekarang.

“Kami cuma mahu mereka penuhi janji-janji yang mereka buat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, bukannya mengabaikan kami,” katanya. – 14 November, 2018.

Berita penuh di sini.             


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen