Rosmah dikehendaki hadir ke mahkamah esok


Christopher Rabin

Rosmah Mansor dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 3 petang esok. Beliau disoal siasat hampir tiga jam oleh SPRM hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2018.

ROSMAH Mansor telah diminta hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuzah Malaysia (SPRM) hari ini.

Rosmah meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 2.35 petang, hampir tiga jam selepas tiba pada jam 11.40 pagi tadi.

Peguam K. Kumaraendran berkata SPRM hari ini merakam kenyataan isteri Najib Razak itu dan meminta beliau supaya hadir di mahkamah pada jam 3 petang esok. Bagaimanapun, Kumaraendran tidak menyatakan mengenai pendakwaan yang akan dihadapkan ke atas Rosmah. 

“Beliau dipanggil hari ini untuk diambil keterangan. Beliau perlu berada di mahkamah KL pada 3 petang esok.

“Apa sahaja berkaitan dengan pendakwaan, anda kena tunggu esok,” katanya.

SPRM dalam satu kenyataan berkata Pejabat Peguam Negara memberi keizinan untuk mendakwa Rosmah dan Rizal.

“Kedua-duanya akan didakwa bersama-sama dalam beberapa kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang esok, berkaitan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak.”

Rosmah dan bekas pembantunya Rizal Mansor dijangka akan berdepan pertuduhan penyalahgunaan dana awam berhubung projek tenaga solar untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Kali terakhir Rosmah dipanggil SPRM ialah pada 3 Oktober berkaitan dakwaan pengubahan wang haram.

Rosmah kemudian dihadapkan dengan 17 pertuduhan menyalahguna dana berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).  – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen