SEORANG ahli Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu menuntut kerajaan mengkaji semula kelulusan projek pembangunan di Kampung Baru yang disyaki dijalankan dengan tidak mengikut peraturan.
Ahli lembaga pengarah tersebut, Mohd Nor Hassan menuntut demikian kerana menurutnya operasi yang sedang berjalan di tiga tapak projek di kampung warisan itu tidak mengikut piawaian.
Menurutnya, projek pembinaan tersebut antara lain merosakkan jalan dan menyebabkan alat pembinaan terjatuh di kawasan penempatan.
“Kita tengok dekat projek Residensi RAH, barang (pembinaan) jatuh. Kalau dia menyusahkan jiran saya, saya tidak boleh diam. Semua orang nampak masalah ini. Ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya minta DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tunjukkan pelan, kelulusan projek dan buat kajian semula kerana pemaju dan kontraktor tidak ikut peraturan. Apa DBKL buat?” katanya.
Beliau yang melawat tapak projek Residensi RAH dan juga Uda Legasi pagi ini juga mendakwa keadaan itu berlaku disebabkan perbadanan berkenaan sebelum ini dikongkong oleh kerajan Barisan Nasional.
Dakwanya perbadanan berkenaan selama ini membiarkan pemaju dan kontraktor membangunkan kawasan tanpa mengikut piawaian.
“Kampung Baru sudah lama dikongkong oleh Umno dan BN. Apabila kita mendapat satu perubahan dalam kerajaan, kita patut betulkan keadaan,” katanya yang juga pemimpin penduduk Kampung Baru.
Bagaimanapun, ketua pegawai eksekutif perbadanan itu, Zulkurnain Hassan berkata agensi berkenaan sudahpun memantau pembangunan di Kampung Baru.
Zulkurnain yang turut serta dalam lawatan Mohd Nor berkata, isu dibangkitkan oleh penduduk merupakan perkara biasa yang timbul apabila satu-satu projek pembangunan dijalankan.
“Kita mengambil aduan dan rungutan daripada penduduk kampung dan membawa agensi-agensi yang berkaitan turun padang untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
“Kita hendak sampaikan mesej yang jelas kepada pemaju supaya ambil berat aduan penduduk dan memastikan kerja-kerja pembinaan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Itulah yang kita lakukan seperti hari ini,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa kerajaan BN sebelum ini terlibat dengan projek Residensi Rah dan juga Uda Legasi yang dilawat pada hari ini.
Tegas Zulkurnain, berkenaan dibangunkan oleh syarikat berkaitan kerajaan di atas tanah persendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana parti politik.
“Projek pembinaan ini dibuat oleh syarikat dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik.
“Uda Legasi adalah projek GLC yang dilaksanakan oleh syarikat kerajaan sendiri manakala Residensi RAH dibangunkan sendiri oleh pemilik yang merupakan penduduk Kampung Baru di atas tanahnya sendiri,” ujarnya.
Pembinaan kondominium Residensi RAH yang bermula pada 2016 dibina dengan kos RM145 juta di atas tapak seluas 3,310 meter persegi.
Kos itu termasuk RM25 juta bagi pengambil alihan tanah dan projek itu dijangka siap pada Mei 2019.
Projek Legasi Residen yang dibangunan UDA Holding Sdn Bhd pula melibatkan sebuah pencakar langit di kawasan seluas 1.14 hektar dengan kos pembangunan kasar kira-kira RM400 juta.
Projek tersebut membabitkan pangsapuri 27 tingkat memuatkan 639 unit kediaman pangsapuri, pejabat dan perniagaan runcit.
Turut dibangunkan di kawasan tersebut adalah menara 70 tingkat M101 yang akan dilengkapi dengan satu roda ferris di puncaknya. – 14 November, 2018
Komen