CNN saman White House selepas pas wartawannya dibatalkan


Seorang pelatih White House cuba mengambil mikrofon daripada wartawan CNN, Jim Acosta pada sidang akhbar Presiden Donald Trump. – Gambar EPA, 14 November, 2018.

HAKIM persekutuan akan mendengar permohonan tuntutan saman CNN terhadap pentadbiran Donald Trump di mana White House didakwa melanggar hak perlembagaan wartawan Jim Acosta dengan membatalkan pas medianya susulan pertelagahan dengan presiden Amerika Syarikat itu.

White House menolak aduan CNN dan akan melawan tuntutan saman itu.

“Penarikan kelayakan wartawan itu salah dan melanggar hak persekutuan CNN dan Acosta dalam kebebasan media,” kata stesen televisyen itu dalam satu kenyataan ketika mengumumkan tuntutan saman difailkan pada Selasa di Mahkamah Persekutuan di Washington.

CNN memohon perintah sekatan sementara, berkata penggantungan pas media Acosta mungkin menjadi pemula bagi serangan terhadap media lain pada masa akan datang.

“Jika tidak dicabar, tindakan White House itu akan mencipta kesan bahaya kepada mana-mana wartawan yang membuat liputan wakil rakyat kita,” katanya.

Hakim Timothy Kelly memerintahkan pentadbiran Trump membalas tuntutan itu selewat-lewatnya 11 pagi tadi (waktu tempatan) dan perbicaraan ditetapkan jam 3:30 petang.

White House menggantung pas media Acosta selepas tercetus perbalahan pada sidang media bersama presiden, yang meminta wartawan itu menyerahkan mikrofon dan menggelarnya “biadab, orang yang teruk” ketika Acosta tidak mematuhi arahannya.

Acosta terus mengasak soalan dan seorang pelatih White House cuba mengambil mikrofon daripadanya. – AFP, 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen